Skuad badminton negara pasang impian juarai Piala Thomas

By Ammar Hakim 17 February 2020 1063
Skuad badminton negara pasang impian juarai Piala Thomas
Kejayaan melangkah ke final Kejohanan Badminton Berpasukan Asia buat skuad muda negara berani memasang aspirasi mencabar kejuaraan Piala Thomas.

Itu sentimen disuarakan oleh kapten pasukan dan pemain perseorangan nombor satu negara, Lee Zii Jia, yang cemerlang memenangi empat daripada lima pertemuan di kejohanan tersebut.

Kegusaran untuk perseorangan memiliki lebih daripada seorang wakil berkualiti padam dengan prestasi luar biasa Cheam June Wei, pemain ke-72 dunia, yang menyumbang mata tunggal ketika Malaysia tewas 3-1 dalam aksi perlawanan akhir menentang Indonesia.

Tempoh sehingga saingan Piala Thomas di Aarhus, Denmark Mei ini akan dimanfaat sebaiknya oleh Zii Jia dan barisan perseorangan lelaki untuk meningkatkan prestasi.

"Saya berasakan peningkatan yang ditampilkan oleh skuad badminton negara [menunjukkan bahawa kami berada dalam] landasan yang baik dan mampu menghadirkan permainan yang lebih cemerlang pada Mei ini," kata Zii Jia menerusi temubual dalam Nadi Arena.

Keterujaan Zii Jia turut dikongsi oleh beregu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, yang masih mencari rentak untuk menempatkan diri di antara kalangan elit dunia.

Pengakuan ke atas kelemahan semasa bagaimanapun tidak menghalang mereka daripada berkongsi keterujaan beraksi dalam Piala Thomas atas tiket merit.

"Kami harus menampilkan peningkatan dalam permainan. Kekuatan mental dalam gelanggang harus dipertingkatkan lagi," kata Wooi Yik.

"Saya sangat teruja untuk beraksi di dalam Piala Thomas. Saingan bakal disertai oleh beberapa pasukan yang hebat dari seluruh dunia pasti memberikan tentangan yang sengit," tambah Aaron.
 

About Author

Ammar Hakim

Comment