Courtois, Hazard bincang perpindahan ke Madrid sewaktu di Chelsea

By Muzaffar Musa 25 May 2020 109
Courtois, Hazard bincang perpindahan ke Madrid sewaktu di Chelsea
Thibaut Courtois mengakui dia dan Eden Hazard berbincang mengenai peluang mereka untuk menyertai Real Madrid sewaktu masih bersama Chelsea.

Penjaga gol kebangsaan Belgium, Courtois, berpindah ke Madrid pada 2018 dan disertai oleh rakan senegaranya, Hazard, di Santiago Bernabeu 12 bulan kemudian.

Kedua-dua pemain itu dilihat "bermain tarik tali" dengan pasukan gergasi Sepanyol berkenaan sebelum melengkapkan perpindahan dan Courtois berkata dia ada berbincang secara terbuka dengan Hazard sebelum mereka menyertai Madrid.

"Di dalam bilik persalinan Chelsea, kami berbincang mengenai kemungkinan untuk bermain di sini," katanya kepada El Mundo.
 
"'Rumah Putih itu, Rumah Putih itu' kata kami, amat baik untuk berdepan spekulasi seperti itu.

"Kini, kami bersedia untuk memenangi trofi di sini," katanya.

Hazard hanya beraksi sebanyak 15 kali buat Madrid sejak menyertai pasukan itu dengan perpindahan bernilai €100 juta (RM475.2 juta) gara-gara kecederaan.

Pemain berusia 29 tahun itu patah buku lali sebelum kempen LaLiga musim ini ditunda berikutan pandemik koronavirus tetapi dia memanfaatkan tempoh rehat hampir tiga bulan itu untuk pulih sepenuhnya sebelum liga itu dijangka bersambung pada pertengahan bulan depan.

"Hazard kembali dengan tenaga yang besar," tambah Courtois.

"Penundaan liga telah membolehkannya untuk kembali cergas.

"Dia dapat membantu kami untuk memenangi gelaran.

"Dia merupakan pemain utama kami," katanya lagi.

Real Madrid ketinggalan dua mata di belakang pendahulu LaLiga, Barcelona, berbaki 11 perlawanan musim ini.

About Author

Muzaffar Musa

Comment