Penghijrahan Messi bukan drama buat LaLiga

By Nafis Abdullah 8 April 2020 3104
Penghijrahan Messi bukan drama buat LaLiga
Perpindahan Lionel Messi ke Inter Milan tidak akan menjadi satu drama buat LaLiga serta menyelesaikan masalah Serie A, kata Javier Tebas.

Spekulasi Messi bakal meninggalkan Camp Nou tampak agak mustahil tetapi perselisihan faham di antara kapten Argentina itu dan pengurusan tertinggi Barca menyaksikan ia mampu mengubah keadaan.

Awal minggu ini, bekas presiden Inter, Massimo Moratti, berkata potensi untuk Nerazzurri mendapatkan khidmat Messi bukan satu angan-angan kosong.

Penghijrahan Messi bakal memberikan tamparan buat LaLiga dan Barca memandangkan dia merupakan salah seorang pemain terbaik sepanjang zaman.

Namun, Presiden LaLiga, Tebas, berkata saingan itu tetap akan ampuh sambil merujuk perpindahan Cristiano Ronaldo daripada Real Madrid ke Juventus dan dia turut menegaskan saingan di Itali tidak akan selesai dengan kehadiran Messi.

"Saya tidak fikir kehadiran Messi akan menyelesaikan masalah Serie A yang dikaitkan dengan masalah hutang serta keuntungan," katanya.

"Saingan Serie A begitu tertekan dan masalah ekonomi itu tidak akan selesai dengan kehadiran Messi.

"Saya gembira untuk melihat Messi kekal tetapi jika dia berpindah, ia bukan satu drama.

"Saya berkata demikian berdasarkan penghijrahan Ronaldo. LaLiga mungkin rugi tetapi kami tetap mencatat keuntungan walaupun di Portugal. Pemain membantu tetapi tidak penting buat sesebuah kejohanan."
 

About Author

Nafis Abdullah

Comment