Pergaduhan sudah dijangka, kata Kim Swee

By Staff Writer 11 August 2018 14568
Pergaduhan sudah dijangka, kata Kim Swee
Insiden pergaduhan yang mencemari perlawanan persahabatan di antara skuad bawah 23 tahun (B-23) negara dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Stadium Shah Alam, malam tadi, tidak terlalu mengejutkan ketua jurulatih, Datuk Ong Kim Swee.

Insiden berlaku di tengah padang pada penghujung perlawanan ketika Malaysia mendahului 2-0 dan
bermula apabila beberapa pemain serta pegawai UAE bertindak menyerang pemain kebangsaan,
dipercayai berpunca daripada beberapa kekasaran yang dilakukan oleh pemain kedua-dua pasukan sebelum itu.

Pergaduhan itu berjaya dikawal dan dileraikan oleh anggota keselamatan kira-kira dua minit kemudian.

Mengulas insiden itu dalam sidang media selepas perlawanan, Kim Swee berkata pergaduhan itu
sememangnya dapat dijangka kerana menjadi kebiasaan pasukan UAE atau mana-mana pasukan
dari Timur Tengah melakukan provokasi terhadap pasukan lawan apabila mereka ketinggalan.

"UAE merupakan pasukan yang berada di ranking lebih tinggi daripada kita, mereka tidak biasa
ketinggalan, keadaan ini... provokasi sememangnya saya sudah jangka," katanya.

Beliau berkata insiden itu bagaimanapun tidak menyebabkan kecederaan kepada pemain negara dan
berharap kejadian serupa tidak berulang dalam Sukan Asia 2018 di Indonesia yang bermula pertengahan, bulan ini.

"Pemain perlu lebih pandai mengawal emosi mereka bila berhadapan dengan provokasi daripada pihak
lawan. Jika insiden ini berlaku semasa Sukan Asia nanti, ia akan merugikan kita," katanya.

Dalam Sukan Asia Indonesia, anak buah Kim Swee diletakkan dalam Kumpulan E bersama-sama Korea Selatan, Bahrain dan Kyrgyzstan manakala UAE pula dalam Kumpulan C dengan China, Timor Leste dan Syria.

Dalam perlawanan malam tadi yang menyaksikan deretan kad kuning dilayangkan, Malaysia mengatasi
UAE 2-0 hasil jaringan Safawi Rasid pada minit ke-27 dan Akhyar Rashid pada minit ke-64.

About Author

Staff Writer

Comment