Piala Dunia 2034: FAM sokong keinginan negara ASEAN

By Staff Writer 25 June 2019 33
Piala Dunia 2034: FAM sokong keinginan negara ASEAN
Tatkala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) tidak melihat sebarang jalan untuk negara-negara ASEAN menjadi penganjur Piala Dunia 2034, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi setiausaha agungnya, Stuart Ramalingam, menganggap ia saranan yang perlu direalisasikan.

Apabila sukan bola sepak mendapat perhatian oleh pihak kerajaan dan saranan yang di keluarkan hadir daripada pemimpin tertinggi negara, ia terbukti menjadi isu nasional yang perlu bermula dari sekarang.

Bagi FAM, jika bukan pada 2034, ia tidak bermaksud pihak negara ASEAN mudah berpatah arang dengan situasi itu, malah peluang masih ada dalam penganjuran berikutnya pada 2038 atau 2042.

"Kami perlu merancang dan mungkin bukan pada 2034 tetapi 2038 atau 2042. Ia terpulang kepada perbincangan dalam ASEAN bersama AFC serta negara lain yang turut terlibat," katanya.

China sudah menyatakan hasrat untuk membida penganjuran bagi edisi 2030 dan menjadi tanggunggjawab penting untuk negara ASEAN memberikan sokongan kepada wakil Asia itu merealisasikan hasrat sebelum giliran mereka pula melakukan perkara sama dalam tempoh lapan atau 12 tahun selepas itu.

Malah, hasrat dan menganjurkan Piala Dunia tampak seiring dengan program jangka masa panjang 12 tahun F30 yang dilancarkan FAM awal tahun lalu, termasuk perancangan FAM yang meletakkan kelompok 70 terbaik dunia menjelang 2030 sebagai sasaran.

"Kami perlu pastikan projek ini bukan milik ASEAN sahaja tetapi ia melibatkan Asia, di mana tidak boleh ada perpecahan. Tiada bidaan daripada China, Korea Selatan atau India dalam satu masa," tambah Stuart.

Sementara itu, pemerhati bola sepak negara, Datuk Richard Scully, menegaskan bukan sahaja prestasi pasukan perlu dijadikan perhatian, malah penganjuran Piala Dunia juga melibatkan semua aspek.

Sambil menyifatkan keinginan yang disuarakan bersama oleh negara-negara ASEAN itu bukan sesuatu yang mustahil, bekas pemain kebangsaan itu berpendapat ia perlu dijadikan aspirasi oleh semua pihak.

"Bagi saya, ia adalah peringatan buat bola sepak Malaysia. Sekiranya ia menjadi satu masalah seperti padang, kemudahan infrastruktur dan sebagainya, apa lagi hala tuju Malaysia dalam bola sepak," ujarnya.

"Adakah Malaysia hanya mahu dikenali di Asia Tenggara atau meluas ke seluruh dunia? Jika ya, segala kelemahan ini perlu diperbaiki bagi menghadapi seluruh dunia, termasuk secara dalaman dan bukan sekadar angan-angan kosong."

About Author

Staff Writer

Comment