Rooney harap pemain muda belajar daripada kekalahan

By Nafis Abdullah 6 March 2020 838
Rooney harap pemain muda belajar daripada kekalahan
Pemain dan jurulatih Derby County, Wayne Rooney, berharap barisan muda dalam pasukannya belajar daripada pengalaman yang diraih ketika berdepan Manchester United dalam pusingan kelima Piala FA, awal pagi tadi.

Derby tewas 3-0 dalam aksi di Pride Park awal pagi tadi selepas Luke Shaw meledakkan gol pembukaan dan Odion Ighalo menambah dua lagi jaringan untuk menempah tiket suku akhir berdepan Norwich City.

Rooney berdepan bekas majikannya dan hampir meletakkan nama dalam senarai penjaring tetapi sepakan percumanya dinafikan Sergio Romero.

Namun, bekas kapten United itu turut ditemani beberapa prospek muda dalam pasukan seperti Max Bird, 19, Louie Sibley, 18, dan Jason Knight, 19, yang menyinar.

Sibley tampak mencuri tumpuan selepas menikmati babak kedua dengan pertarungan di bahagian tengah dengan Scott McTominay.

Dan Rooney gembira melihat perkembangan itu walaupun tewas.

"Jelas sekali United pasukan yang bagus dan kami cuba menang," katanya.

"Saya fikir keputusan seri lebih seimbang untuk kami dan United tetapi lawan meneruskan kemaraan kerana mereka jelas lebih bagus.

"Namun, mengenai pemain muda, mereka meraih pengalaman berharga sambil tidak mengecewakan. Mereka menikmati detik hebat hari ini dan walaupun kami tewas, ia bagus untuk mereka."

Ditanya mengenai perbezaan di antara kedua-dua pasukan itu, dia menambah: "Itu adalah tahapnya, berbeza ketika mengawal bola. Memang sentiasa ada perbezaan.

"Kami perlu gunakan kesempatan tetapi tidak dapat lakukannya. Namun, kami tidak mengecewakan sesiapa. Kami telah berikan segalanya tetapi tidak bernasib baik."

Rooney juga menegaskan dia kini masih belajar dalam Liga Kejuaraan tatkala bertindak selaku pembantu buat pengurus, Philip Cocu.

"Sudah tentu anda masih belajar," katanya.

"Ia liga yang berbeza berbanding yang pernah saya beraksi. Di United, anda sentiasa mengejar trofi. Di Derby, kami cuba mendapatkan kenaikan. Ia berbeza. Peranan saya selaku jurulatih, cuba seimbangkannya.

"Ia sesuatu yang saya nikmati. Saya rasa bagus, mahu terus melakukannya tetapi ia memerlukan tempoh untuk beralih daripada pemain kepada jurulatih.

"Pengurus pasukan sangat bagus dan saya mahu terus belajar serta cuba pertingkatkan diri."
 

About Author

Nafis Abdullah

Comment