Santos yakin Portugal akan bangkit selepas diikat Ukraine

By Staff Writer 23 March 2019 406
Santos yakin Portugal akan bangkit selepas diikat Ukraine
Pengendali Portugal, Fernando Santos, percaya keputusan seri 0-0 ketika berdepan Ukraine dalam aksi pertama kempen kelayakan Euro 2020 awal pagi tadi memberikan kekuatan untuk menghadapi cabaran Serbia selepas ini.

Juara bertahan Euro itu diperkuatkan kembali dengan kehadiran Cristiano Ronaldo yang tampil buat kali pertama sejak Piala Dunia 2018, namun tetap gagal memberi inspirasi kepada anak buah Santos.

Dalam aksi di Lisbon itu, tuan rumah dilihat lebih mendominasi perlawanan, namun tidak berjaya untuk menembusi gawang pelawat, sekali gus gagal memulakan saingan dengan kemenangan.

Namun, Santos menjangkakan tindak balas daripada pemain akan dapat dilihat dalam aksi seterusnya Isnin ini.

"Pasukan bermain baik tetapi tidak menang. Kami berhak mencatat tiga mata," katanya.

"Pemain telah mencuba, mencipta situasi tetapi gagal menjaringkan gol.

"Keputusan itu mungkin tidak mengganggu kempen kami dan ia memberi kekuatan kepada pemain untuk menghadapi Serbia selepas ini. Pemain akan berehat dan memulihkan diri bagi membolehkan kami menang.

"Secara keseluruhan, pemain bermain baik. Kami tidak menang, jadi anda tidak boleh katakan semuanya sedang baik tetapi kami berada dalam tempoh bergelut.

"Kami gagal mengawal situasi walaupun dihidangkan deretan peluang. Keputusan ini tidak adil, ia tidak memberi kepuasan kepada kami tetapi perlu memenangi aksi seterusnya."

About Author

Staff Writer

Comment