Southgate teruja prestasi hebat Sterling ledak hatrik

By Staff Writer 23 March 2019 1586
Southgate teruja prestasi hebat Sterling ledak hatrik
Pengurus England, Gareth Southgate, memuji prestasi cemerlang yang dipamerkan Raheem Sterling menerusi ledakan hatrik bagi membantu pasukannya membelasah Republik Czech 5-0, awal pagi tadi.

Skuad The Three Lions turun beraksi dalam aksi pertama sejak November lalu, di mana mereka sudah mengesahkan tempat dalam separuh akhir Liga Negara-Negara UEFA.

Dan dalam perlawanan pertama kelayakan Euro 2020 awal pagi tadi, Sterling begitu menyerlah, membuka tirai jaringan menerusi satu gerakan bebas sebelum menambah dua gol lagi dalam babak kedua di Wembley.

Sepakan penalti dalam separuh masa pertama oleh Harry Kane -- yang turut dimenangi oleh Sterling -- serta jaringan sendiri lewat permainan daripada Tomas Kalas mengesahkan kenduri gol buat anak buah Southgate itu, namun bintang Manchester City itu jelas berada dalam kelas tersendiri.

Southgate teruja melihat peningkatan yang dipamerkan Sterling, termasuk teknik penyudah di depan gawang dan corak permainannya di atas padang.

"Hebat, saya fikir dia terlalu memukau di sepanjang perlawanan," kata Southgate.

"Dia menunjukkannya sepanjang minggu ketika sesi latihan. Dia terlibat dalam empat gol dan saya sangat berpuas hati melihat pencapaiannya. Ia satu malam yang indah buat Sterling.

"Saya hanya fikir dia sudah cukup matang sebagai seorang individu serta pemain bola sepak dan kini dahagakan jaringan.

"Dia bijak memilih kawasan tepat di atas padang dan kualiti teknik penyudahnya, jelas sekali Sterling memiliki naluri sebenar tanpa perlu berfikir panjang."

Sterling, yang menuju ke perlawanan awal pagi tadi berbekalkan hanya empat gol di peringkat antarabangsa, menegaskan: "Saya sentiasa yakin dengan diri sendiri, cuba untuk menjaringkan gol, melakukan percubaan dan tidak gentar kepada apa sahaja. Itu sahaja."

England bakal meneruskan saingan kelayakan menentang Montenegro di Podgorica, Isnin ini.

About Author

Staff Writer

Comment