Tiga pasukan perlu segera lunas hutang

By Staff Writer 16 January 2020 277
Tiga pasukan perlu segera lunas hutang
Tiga pasukan Liga Malaysia (Liga-M) yang gagal menyelesaikan isu tunggakan gaji akan berdepan pemotongan sembilan mata menjelang sepak mula musim 2020 sebelum hukuman lebih berat dikenakan.

Tiga pasukan yang dimaksudkan itu terdiri daripada dua pasukan Liga Super, Melaka dan PDRM, selain pasukan daripada Liga Perdana, Kelantan.

Mereka perlu menyelesaikan segala isu tunggakan gaji sebelum hujung bulan ini dan jika gagal, pemotongan tiga mata akan diambil sebagai tindakan pertama.

Kegagalan pada tarikh kedua 28 Februari ini bermakna tambahan pemotongan enam mata akan dikenakan.

Penyingkiran daripada liga masing-masing akan dilakukan seandainya mereka masih gagal melunaskannya pada 30 Mac depan.

"Kami sudah mengeluarkan surat dan amaran, tindakan automatik akan berlaku selepas ini," kata Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam.

"Kami masih bekerjasama dengan pasukan (berkenaan) untuk memastikan tindakan automatik itu tidak perlu berlaku.

"Harap-harap semuanya akan selesai pada 30 Januari ini," katanya.

Mengulas lanjut, Stuart menambah: "Disebabkan itu, kenyataan FAM semalam tidak menyatakan ia akan dibawa ke dalam mesyuarat.

"Semua yang akan berlangsung dari hari ini hingga 30 Mac depan adalah (berlaku secara) automatik.

"Pengurangan mata secara automatik dan tersingkir daripada liga secara automatik pada Mac depan.

"Jadi, kepada semua pasukan (terlibat), tolong ikut setiap tarikh yang ditetapkan," katanya.

Stuart menegaskan FAM tidak akan bersikap lepas tangan dan membiarkan tiga pasukan berkenaan terkapai-kapai dalam mengatasi masalah hutang.

Badan induk itu enggan mereka mengikuti jejak pasukan Perlis yang terpaksa "tutup kedai" musim lalu.

"Saya tidak mahu pasukan berkenaan terkubur.

"Kalau mereka terkubur, ia tidak bermakna isu ini selesai.

"Ia bermakna saya akan ada lebih banyak kes tahun ini.

"Kami mahu memajukan bola sepak dan tidak mahu industri elit bola sepak kita dicemari oleh segelintir pasukan," katanya lagi.



Editor: Muzaffar Musa

About Author

Staff Writer

Comment