Covid-19: Fitri jatuh ditimpa tangga

By Muzaffar Musa 6 May 2020 5968
Covid-19: Fitri jatuh ditimpa tangga
Pemain hoki berpengalaman, Fitri Saari, mengakui terkesan daripada segi kewangan memandangkan pandemik Covid-19 menganggu perancangannya untuk memulakan pekerjaan selepas digugurkan daripada skuad kebangsaan.

Selepas sembilan tahun berkhidmat, Fitri antara pemain senior yang digugurkan daripada program kebangsaan sejak Februari lalu.

Kecewa dengan keadaan itu, dia mempunyai perancangan tersendiri untuk memulakan kerjaya baru, namun penularan wabak Covid-19 memaksanya untuk menangguhkan perancangan itu dan melaksanakan pelan alternatif.

"Ada sedikit kesan daripada segi perbelanjaan, saya perlu menguruskan keluar masuk wang saya.

"Saya perlu berjimat-cermat kerana masih mempunyai gaji selama setahun bersama Terengganu.

"Gaji sebagai pemain kebangsaan sudah tiada, jadi saya cuba meminta kerja di MSN (Majlis Sukan negara) tetapi apabila saya sudah pergi temuduga, koronavirus ini sudah ada dan saya terpaksa menunggu," katanya.

Fitri mengambil inisiatif dengan membantu ibunya menjalankan perniagaan menjual sate ikan sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).

"Saya membantu ibu saya menjual sate ikan dan sosej.

"Dalam tempoh PKP ini agak laku kerana ramai peniaga lain tidak dapat berniaga," tambahnya.

Dalam masa sama, dia turut berkongsi sasarannya untuk kembali mewakili skuad kebangsaan tahun depan.

"Kalau ikutkan hati, saya masih rindu untuk bersama pasukan kebangsaan tetapi apakan daya, nama saya tidak tersenarai.

"Saya harap pada masa akan datang, saya dapat buat yang terbaik untuk mendapat panggilan kembali," katanya lagi.

About Author

Muzaffar Musa

Comment