Jodoh Benitez, Newcastle terlerai 

By Staff Writer 25 June 2019 1327
Jodoh Benitez, Newcastle terlerai 
Rafael Benitez akan meninggalkan Newcastle United sebaik kontraknya berakhir hujung minggu ini.

Pengurus itu mengadakan rundingan untuk melanjutkan kontrak tiga tahunnya yang bakal tamat, namun akhirnya memutuskan untuk mengundurkan diri sambil dikaitkan dengan kekecewaannya terhadap aktiviti perpindahan pemain yang terhad di kelab berkenaan. 

Bagaimanapun, perbincangan tersebut gagal mencapai kata sepakat dan pengendali berusia 59 tahun itu akan pergi sebaik kontraknya berakhir Ahad ini. 

Newcastle dalam satu kenyataan semalam menyatakan: "Dukacitanya kami mengumumkan pengurus, Rafael Benitez, akan meninggalkan Newcastle United sebaik kontraknya tamat pada 30 Jun 2019.

"Kami telah bekerja keras untuk melanjutkan kontrak Rafa dalam tempoh masa yang sangat penting, namun kami belum lagi dan tidak akan mungkin mencapai persetujuan dengan Rafa dan wakilnya.

"Barisan kejurulatihan di bawah bimbingan Rafa, iaitu Paco de Miguel Moreno, Antonio Gomez Perez dan Mikel Antia, juga akan meninggalkan kelab ini pada 30 Jun.

"Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Rafa dan pasukan kejurulatihannya atas usaha mereka sejak tiga tahun lalu selain sumbangan penting mereka terhadap pencapaian kami secara keseluruhannya. 

"Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada penyokong, pemain dan kakitangan atas kesabaran mereka dalam tempoh yang tidak menentu.

"Proses untuk melantik penggantinya akan bermula sekarang."

Pengurus berbangsa Sepanyol itu mengemudi kelab berkenaan sejak 2016. Dia pada mulanya tewas tiga daripada empat perlawanan pertamanya sebelum mengharungi enam perlawanan tanpa kalah tetapi usaha itu belum memadai dan mereka tergelincir ke divisyen kedua. 

Namun, bekas pengurus Liverpool, Inter dan Real Madrid itu kekal dan mengembalikan semula kelab itu ke Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan memenangi gelaran Liga Kejuaraan pada hari terakhir, seterusnya dalam musim berikutnya, menamatkan saingan EPL di kedudukan ke-10. 

Mereka sekali lagi mengelak penyingkiran pada musim lalu dan selepas membuat permulaan yang kurang memberangsangkan, mereka menamatkan kempen di tangga ke-13.

Newcastle merupakan salah satu daripada empat pasukan yang menumbangkan juara, Manchester City, dalam kempen liga musim lalu dan mereka akhirnya memecahkan rekod perpindahan sejak 2005 ketika membawa pemain antarabangsa Paraguay, Miguel Almiron, Januari lalu. 
 

About Author

Staff Writer

Comment