Kane hampir cergas sepenuhnya

By Staff Writer 25 March 2020 70
Kane hampir cergas sepenuhnya
Harry Kane mendedahkan bahawa dia sedang berada di tahap pemulihan yang baik dan mungkin akan kembali berlatih bersama Tottenham Hotspur dalam dua atau tiga minggu lagi jika keadaan itu berterusan.

Kapten England dan Spurs itu direhatkan sejak mengalami kecederaan paha ketika tewas kepada Southampton awal tahun ini.

Kane menunjukkan perkembangan positif dalam proses pemulihannya dan akan kembali menjalani latihan penuh bulan depan jika saingan musim ini tidak ditunda lagi susulan pandemik Covid-19.

Dia berkata kepada Spurs TV: "Saya sudah tidak terlalu jauh -- saya berharap dapat kembali bersama pasukan dalam dua atau tiga minggu lagi.

"Saya sedang berada di tahap terbaik, dapat melakukan semua perkara dan kini sudah tiba masanya untuk membina kecergasan saya.

"Daripada aspek pemulihan dan pandangan peribadi, saya berada di tahap yang baik dan saya sedang melakukannya dengan terbaik.

"Saya sedang menjalani banyak proses pemulihan dan hanya menunggu apa yang akan terjadi kepada musim ini.

"Selain itu, keluarga saya baik-baik sahaja.

"Sudah pasti semua orang sedang berfikir mengenai koronavirus ketika ini dan ia masanya untuk bersama-sama, untuk kekal selamat dan harap-harap segala-galanya akan baik-baik sahaja," katanya.
 
Liga Perdana Inggeris akan ditunda sehingga 30 April memandangkan United Kingdom sedang menjalani perintah berkurung.

Kane menambah: "Ia situasi yang janggal, tiada siapa pernah melalui situasi seperti ini.

"Apapun, anda perlu mengambilnya dengan positif dan melakukan apa yang anda mampu.

"Setakat ini, saya dan keluarga saya baik-baik sahaja dan saya akan terus bekerja keras, berusaha di gimnasium, bekerja di rumah dan melakukan apa yang saya mampu.

"Kita hanya perlu menunggu dan lihat," tambahnya.

Sebelum dilanda kecederaan, Kane menjaringkan 11 gol dalam 20 penampilan liga musim ini.

About Author

Staff Writer

Comment