Lampard puji aksi kelas dunia Pulisic berdepan Watford

By Nafis Abdullah 5 July 2020 351
Lampard puji aksi kelas dunia Pulisic berdepan Watford
Frank Lampard memuji aksi Christian Pulisic selepas Chelsea menewaskan Watford 3-0 untuk kekal di tangga keempat Liga Perdana Inggeris.

Berpindah dengan nilai tinggi daripada Borussia Dortmund, Pulisic beraksi ke satu lagi tahap yang tinggi sejak saingan liga disambung bulan lalu dan sentiasa memberikan ancaman buat The Hornets di Stamford Bridge.

Jaringan daripada Olivier Giroud, Willian dan Ross Barkley membolehkan The Blues kembali memintas Manchester United yang sebelum itu menundukkan Bournemouth 5-2.

Lampard tidak mahu membandingkan Pulisic dengan bekas penggempur Chelsea, Eden Hazard, tetapi gembira dengan perkembangan pemain Amerika Syarikat itu selepas pulih daripada kecederaan serta isu prestasi merudum pada awal musim.

"Pulisic dan Hazard adalah pemain menarik untuk disaksikan. Hazard melakukannya di sini dan sangat hebat," kata Lampard.

"Saya tidak mahu membuat perbandingan tetapi di pentas sama, saya tidak mahu meragut apa-apa daripada Pulisic. Apa yang ditunjukkan adalah kebolehan semulajadi, keseimbangan, kepantasan menggelecek.

"Perkara seterusnya perlu diperbaiki adalah penyudah, lebih banyak gol dan bantuan jaringan tetapi sejak saingan disambung, dia telah membuktikannya. Ia sesuatu yang bagus.

"Dia berdepan kecederaan pada musim ini tetapi sangat bagus. Saya gembira dengannya."

Lampard juga melahirkan rasa gembira dengan persembahan anak buahnya selepas tewas 3-2 di tangan West Ham United, pertengahan minggu lalu.

"Kami harus menerima tekanan itu. Sebelum aksi berdepan West Ham, kami patut naik ke tangga ketiga tetapi melepaskan peluang," tambah bekas pengendali Derby County itu.

"Hari ini, sedikit tekanan untuk kembali ke tangga keempat dan kami hasilkannya. Kami perlu biasakan diri dengan tekanan itu, tidak kira bagaimana ia hadir kerana segalanya akan menjadi sukar."

About Author

Nafis Abdullah

Comment