Pochettino sedia pertimbang lamaran Newcastle

By Shaiful Shamsudin 23 May 2020 228
 Pochettino sedia pertimbang lamaran Newcastle
Bekas pengurus Tottenham, Mauricio Pochettino, bersikap terbuka untuk kembali ke Liga Perdana Inggeris (EPL) dan menguruskan sebuah pasukan di luar kelompok enam teratas apabila dikaitkan dengan Newcastle United.

Pochettino dipecat November lalu setelah permulaaan sukar dalam kempen 2019-20 biarpun membawa Spurs ke perlawanan Liga Juara-Juara (UCL) musim lalu.

Pemain berusia 48 tahun itu -- sebelum ini dikaitkan dengan Manchester United dan Real Madrid -- menjadi sasaran Newcastle dan bakal pemiliknya yang disokong hartawan dari Arab Saudi.

 
"Saya menggemari England," katanya kepada Sky Sports News. "Saya berharat untuk terus tinggal di London tetapi pada masa yang sama, saya bersikap terbuka terhadap tawaran daripada pelbagai negara.

"Saya sudah bersedia dan kami kini adalah kakitangan kejurulatihan yang jauh lebih baik. 

"Kami banyak belajar daripada pengalaman kami di Espanyol, Southampton dan Tottenham. Banyak yang boleh kami tawarkan kepada pihak yang mempercayai kami pada masa depan."

Menurutnya lagi: "Saya perlu bersikap seperti yang saya lakukan pada hari pertama saya sebagai jurulatih. Terdapat dua perkara yang paling penting -- yang pertama adalah orang, peminat yang berdiri di belakang setiap kelab. Itulah struktur yang tetap hidup dalam setiap syarikat yang menyediakan hiburan seperti bola sepak, yang berikutnya adalah idea kelab.

"Setiap kelab dan syarikat mempunyai budaya, falsafah, cara kerja yang berbeza. Mereka semua mempunyai rancangan kejayaan yang berbeza.

"Untuk berjaya di sesebuah kelab, anda perlu memenangi UCL atau Liga Perdana, tetapi bagi sesetengah kelab yang lain, mereka harus berada di kedudukan empat atau enam teratas. Bagi Tottenham pula, ia adalah mengenai pembinaan stadium baru dan pada masa yang sama mewujudkan sebuah pasukan yang mampu bersaing dan mengurangkan jurang dengan empat pasukan teratas.

"Setiap kelab mempunyai tujuan yang berbeza dan anda sebagai kakitangan kejurulatihan perlu berpegang kepada idea-idea ini. Pada akhirnya, ketika kami sedang menunggu tawaran baru dan kami mampu menawarkan apa yang diharapkan kelab. Kami akan sangat gembira. "

"Masalahnya, kelab manakah yang berada di kedudukan enam teratas?" tambahnya.

"Enam pasukan teratas selalu berubah-ubah. Tottenham tidak berada di enam teratas, termasuk Arsenal.

"Anda perlu menghormati semua kelab. Semua kelab bekerja keras dan melabur wang.

"Setiap musim kelab mempunyai cita-cita untuk merebut kedudukan enam atau empat teratas. Saya tidak fikir anda boleh memandang rendah kepada mana-mana kelab sekalipun."

Bekas pemain tengah itu juga mendedahkan bahawa dia gembira dengan pelantikan Jose Mourinho di kelab London itu sambil mengakui sejarah hubungan mereka adalah mesra. 
 

About Author

Shaiful Shamsudin

Comment