West Ham enggan dedah usaha pancing Barkley

By Staff Writer 17 January 2020 169
 West Ham enggan dedah usaha pancing Barkley
David Moyes mengakui berminat dengan mana-mana pemain yang boleh meningkatkan prestasi West Ham, namun tidak dapat mengesahkan laporan yang membabitkan Ross Barkley.

Pemain antarabangsa England itu dikaitkan akan dipinjamkan kepada The Hammers bulan ini selepas kegagalan mereka memancing Gedson Fernandes yang memilih untuk menyertai seteru London, Tottenham, semalam. 

Bahagian tengah menjadi sasaran utama West Ham selepas Jack Wilshere terus dibelenggu masalah kecederaan, justeru Barkley dianggap pilihan menarik buat Moyes.

Bekas pengurus Everton itu merupakan individu yang memberi peluang pertama kepada Barkley, yang ketika itu berusia 17 tahun, apabila membuat kemunculan pertama dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) pada 2011 dan diajukan soalan mengenai kemungkinan untuk kembali berganding bahu di Stadium London.

"Satu perkara yang saya tidak akan lakukan adalah bercakap mengenai pemain kelab lain," katanya dalam sidang akhbar.

"Apa yang kami fikir boleh memperbaiki skuad ini, saya pasti berminat untuk mengetengahkannya."

Barkley diturunkan 27 kali dalam saingan EPL di bawah Maurizio Sarri musim lalu tetapi kerap tersisih daripada kesebelasan utama sejak ketibaan Frank Lampard di Stamford Bridge. 

Dia diberi lima kesempatan dalam barisan utama untuk saingan liga dan peluang pertamanya di bawah kendalian Lampard itu hadir ketika tumpas 0-4 kepada Manchester United, Ogos lalu.

Kecederaan kaki yang dialaminya Oktober lalu telah mengetepikan Barkley selama hampir dua bulan, bahkan tonggak tengah itu juga dikritik pengurusnya selepas muncul dalam dua rakaman -- bertengkar dengan seorang pemandu teksi di Liverpool dan satu lagi insiden memaparkannya sedang berjoget tanpa baju di sebuah kelab malam di Dubai.

Di atas lapangan pula, Barkley telah menyumbat empat gol dalam enam penampilan bersama England dalam kempen kelayakan Euro 2020.

Mengenai prospek untuk menandatangani pemain British, Moyes menambah: "Bukan mudah untuk mendapatkan pemain Inggeris.

"(Mungkin) lebih mudah untuk mendapatkan pemain Liga Perdana atau dari luar negara tetapi untuk mendapatkan pemain yang tepat adalah penting.

"Kami sedang mengusahakan dua atau tiga perkara ketika ini tetapi masih tiada apa yang muktamad lagi."



‚ÄčEditor: Shaiful Shamsudin 

About Author

Staff Writer

Comment