Kelantan di ambang penyingkiran

By Bernama 19 July 2019 9325
Kelantan di ambang penyingkiran
Prestasi semasa skuad UKM FC menggusarkan Kelantan dalam usaha mereka memastikan pasukan itu menang dalam perlawanan terakhir Liga Perdana di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, malam esok.

Ketua jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah, berpandangan perlawanan malam esok amat penting bagi memastikan The Red Warriors akan kekal beraksi dalam liga berkenaan atau ditendang turun ke Liga Divisyen Tiga (M-3) musim depan.

"Saya berasakan perlawanan malam esok bukan satu tugas mudah kepada pemain saya untuk mencipta kemenangan walaupun secara hakikatnya kami amat memerlukan kemenangan untuk terus kekal berada dalam Liga Perdana.

"Lebih menggusarkan saya apabila melihat prestasi UKM FC dalam perlawanan sebelum ini kerana mereka telah mencipta kemenangan dengan jaringan yang besar.

"Saya yakin mereka tidak hadir malam esok dengan pemain simpanan kerana mereka juga mahu mengukuhkan kedudukan dalam saingan liga," katanya.

Bagaimanapun, Yusri berkata beliau mahu anak buahnya kekal fokus sepanjang 90 minit perlawanan malam esok walaupun mereka kini tertekan dengan keadaan semasa.

"Sudah pasti pemain akan berasa tertekan kerana mereka belum cukup matang untuk menghadapi suasana hari ini, terutama ketika berdepan perlawanan penting, bagi menentukan hidup mati pasukan.

"Sekiranya mereka ingin mencapai motif perlawanan malam esok, mereka perlu melakukan sesuatu seperti bagaimana mahu menyekat pasukan lawan dan dalam masa sama cuba mencari peluang untuk menterjemah jaringan kerana jaringan dan kemenangan sahaja yang dapat memenuhi harapan penyokong," katanya.

Sementara itu, Yusri mahu pemainnya menjadikan perlawanan malam esok sebagai satu cabaran untuk meningkatkan proses kematangan dalam sukan bola sepak.

"Saya mahu pemain mengakhiri saingan liga dengan melakukan sesuatu yang mampu memberikan keceriaan kepada semua pihak dan jangan akhiri perlawanan terakhir dengan kekecewaan," katanya lagi.

Kelantan kini berada di kedudukan kedua tercorot liga dengan mengumpul 13 mata hasil daripada tiga kemenangan, empat seri dan 12 kekalahan selepas mengharungi 19 perlawanan.

-- BERNAMA

About Author

Bernama

Comment