Pulau Pinang serius mahu ke Liga Super

By Staff Writer 8 February 2020 2926
Pulau Pinang serius mahu ke Liga Super
Pulau Pinang serius untuk melunaskan misi layak ke Liga Super 2021 apabila merekrut ramai pemain berpengalaman dengan yang terbaru menandatangani penjaring terbanyak Liga Perdana 2018 dan 2019, Bobby Gonzalez.

Menjelang pembukaan Liga Perdana hujung bulan ini, skuad Harimau Kumbang itu mencuri tumpuan sebagai pasukan utama yang akan mencabar kejuaraan dengan hanya mengekalkan sembilan pemain lama.

Pemain baru yang ditandatangani pula rata-ratanya pemain berpengalaman, antaranya Latiff Suhaimi, Khairul Azrin Khazali, Mohamad Ramadhan Ab. Hamid dan Azmi Muslim.

Kehadiran mereka sudah pasti ditagih skuad kendalian Manzoor Azwira Abd Wahid itu bagi melayakkan diri ke Liga Super selepas kempunan untuk melakukannya tahun lalu.

Perkembangan terbaru pula menyaksikan mereka mendapatkan sentuhan bekas penyerang Sarawak, Bobby, untuk menambah kekuatan di bahagian serangan.

"Kami berjaya menandatangani Bobby Gonzalez tiga hari lalu," kata Manzoor.

"Saya berharap pengalaman dan kekuatannya dapat membantu kami dalam memantapkan bahagian serangan.

"Jadi, dia akan memberikan kami lebih pilihan dan variasi dalam permainan," katanya.



Editor: Muzaffar Musa

About Author

Staff Writer

Comment