PJ City mahu julang satu trofi

By Bernama 18 January 2020 339
PJ City mahu julang satu trofi
Skuad PJ City FC berazam memperbaiki kedudukan kepada kelompok lima terbaik serta memburu satu gelaran dalam saingan musim kedua pasukan itu di pentas Liga Super musim ini.

Selepas melengkapkan musim pertama di tangga kelapan daripada 12 pasukan, skuad bimbingan K. Devan itu menggunakan khidmat pemain berpengalaman seperti pemain tengah, K. Gurusamy dan D. Christie Jayaseelan, serta pertahanan, Mahali Jasuli dan Muhammad Syazwan Zaipol Bahari.

Musim ini, PJ City FC turut mengikat penyerang muda kebangsaan, R. Kogileswaran, dan penjaga gol skuad B-22 kebangsaan, Damien Lim.

Kelab tersebut juga mengekalkan dua import dari Brazil, Washington Brandao dan Elizeu Araujo, penyerang veteran, Safee Sali, dan dua pemain muda daripada skuad B-19 negara, K. Thivandran dan K. Satish.

Pengurus pasukan, J. Rajendran, memberitahu Bernama hari ini, pasukan itu dalam proses mengikat pemain Korea Selatan, Kim Bong-Jin, 29, yang boleh bermain di posisi pertahanan dan tengah.

Bagi mempertajamkan jentera serangan, kelab itu juga menguji pemain berusia 27 tahun, Onoriode Marshal dari Nigeria yang pernah beraksi dalam Liga Perdana Mesir untuk dua musim lalu serta pemain dari Congo, Ferebory Dore, 30, yang pernah beraksi​​​​​​​ dalam liga di Perancis, Romania dan Bulgaria.

“Kami akan mengadakan sesi ujian dan menilai kamampuan pemain import sebelum membuat keputusan. Selepas mendapat pengalaman berguna musim lalu, kami kini lebih bersedia,”  katanya tanpa mendedahkan bajet kelab itu bagi musim ini.

Kelab itu melakukan persediaan pramusim serta menguji pemain di Kemboja dengan menyertai Piala Siem Reap Super Asia 2020 yang disertai oleh hos, Angkor Tiger FC, Visakha FC dan kelab Indonesia, Bhayangkara FC, dari 22 hingga 27 Januari ini.

Terdahulu, kelab itu bercadang mengadakan perlawanan persahabatan dengan skuad B-23 Pakistan di Petaling Jaya hari ini tetapi membatalkannya susulan masalah visa yang dihadapi lawan.

Musim lalu, PJ City FC mengumpul 26 mata daripada 22 perlawanan Liga Super, layak ke pusingan ketiga Piala FA tetapi gagal melepasi peringkat kumpulan Piala Malaysia.

-- BERNAMA


 

About Author

Bernama

Comment