Yee Fatt optimis ubah nasib Kuala Lumpur

By Staff Writer 22 March 2019 659
Yee Fatt optimis ubah nasib Kuala Lumpur
Pengendali baru Kuala Lumpur, Chong Yee Fatt, tiada pilihan selain perlu memastikan kemenangan sulung diraih selepas berdepan lima kekalahan berterusan dalam saingan Liga Super musim ini.

Yee Fatt menghadapi tugas sukar apabila mengambil alih kedudukan bekas jurulatih, Yusri Che Lah, yang meletakkan jawatan selepas aksi hambar pasukan yang kini menghuni kedudukan tercorot liga itu.

Perlawanan yang hanya akan bersambung pada 30 Mac ini pastinya akan memberi tempoh masa mencukupi untuk Yee Fatt melakukan percaturan baru bagi memulihkan kembali prestasi pemain.

Selain ingin memastikan pasukan kekal dalam saingan Liga Super, misi mara ke suku akhir menjadi sasaran awal Yee Fatt di pentas Piala FA kali ini.

"Ian satu tugas yang sukar tetapi kami tidak terlalu lambat, masih ada 17 perlawanan lagi. Kalau kami fokus sepenuhnya selain bekerja keras, saya optimis mampu baiki prestasi pasukan musim ini," katanya.

Menjelang aksi berdepan PKNP FC minggu depan, Yee Fatt tidak menolak bahawa tonggak import, Guilherme De Paula, yang sebelum ini dibelenggu kecederaan otot kaki kiri akan kembali beraksi selain kehadiran bekas pertahanan Perlis, Azmi Muslim, diharap mampu memberi impak terbaik.

"Tahap kecergasan Fitri Omar, De Paula, Sylvano Comvalius, Khair Jones dan beberapa pemain lagi amat membimbangkan, namun kami akan terus berlatih dengan pemain sedia ada. De Paula mungkin akan kembali dua atau tiga minggu lagi."

About Author

Staff Writer

Comment