Boling Tenpin Piala Dunia: Adrian, Natasha intai aksi tekal 

Oleh Bernama 17 November 2019 352
Boling Tenpin Piala Dunia: Adrian, Natasha intai aksi tekal 
Atlet boling tenpin lelaki dan wanita negara, Adrian Ang dan Natasha Roslan, menjangkakan cabaran sukar dalam Kejohanan Boling Tenpin Piala Dunia Ke-55 di Pusat Bowling Bandar Sukan Jakabaring, Palembang, Indonesia esok. 

Adrian, 31, yang akan membuat penampilan buat kali ketiga dalam pertandingan Piala Dunia itu menyedari bahawa lorong yang berbeza pastinya memberi cabaran besar kepada setiap pemain untuk kekal tekal sepanjang permainan.

"Saya berharap untuk mencatat tuah dalam penyertaan kali ketiga tetapi dalam kejohanan ini, hampir semua pemain yang mempunyai rekod prestasi yang baik mempunyai peluang yang cerah.

"Masalahnya ialah ia tahap yang berbeza dan pemain perlu tekal," kata atlet kelahiran Pulau Pinang itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Kongres Boling Tenpin Malaysia (MTBC) hari ini.

Untuk rekod, Adrian menduduki tangga ke-17 dalam penampilannya di Venezuela pada 2006 dan di tempat ke-23 pada 2011 ketika di Johannesburg, Afrika Selatan.

Dalam pada itu, Natasha melahirkan keyakinan mengenai peluangnya untuk mencatatkan pencapaian yang lebih baik kerana pernah beraksi di venue yang sama dalam Sukan Asia 2018.

"Lorong itu sama seperti ketika kami beraksi dalam Sukan Asia tetapi lebih mesra untuk catatan mata yang tinggi sekarang. Saya perlu lebih tekal dan memperoleh pungutan mata yang tinggi," kata pemain berusia 23 tahun itu yang pernah meraih gelaran Masters Belia Dunia 2016.

Pemain utama lain dalam kategori lelaki termasuk juara bertahan, Sam Cooley dari Australia, pemain veteran Indonesia, Ryan Leonard Lalisang, selain pemain Amerika Syarikat, John Janawicz.

Kategori wanita akan melihat persaingan sengit di antara juara dua kali, Aumi Guerra dari Republik Dominican dan juara 2017, Krizziah Lyn Tabora dari Filipina.

-- BERNAMA

 

Tentang Penulis

Bernama

Comment