Isu doping: Zulfiqar lega Poad tiada kaitan

Oleh Staff Writer 17 Januari 2020 680
Isu doping: Zulfiqar lega Poad tiada kaitan
Pelari pecut negara, Zulfiqar Ismail, lega apabila bekas jurulatihnya, Mohd Poad Md Kassim, didapati tiada kaitan dengan isu doping membabitkan seorang pelari pecut remaja.

Zulfiqar menjelaskan dia cukup mengenali jurulatih itu, yang sentiasa berhati-hati dalam memantau setiap makanan tambahan yang diambil oleh anak buahnya.

Skuad olahraga negara digemparkan dengan isu doping membabitkan seorang atlet pecut remaja yang didapati positif menggunakan bahan terlarang jenis steroid dalam Kejohanan Tertutup Malaysia, Ogos lalu.

Semalam, Jawatankuasa Siasatan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) mendedahkan bahawa mereka tiada bukti untuk mengaitkan Poad dengan dakwaan berkenaan.

"Saya yakin 100 peratus bahawa jurulatih Poad tidak pernah mengajar kami untuk mengambil bahan terlarang.

"Sepanjang saya berlatih di bawahnya, dia amat mengutamakan aspek pemakanan," katanya.
 
Ketika ini, Zulfiqar berada dalam program latihan di bawah seliaan Pengarah Teknikal KOM, Dwayne Miller, namun masih memerlukan nasihat Poad dalam menentukan beberapa perkara.

"Tahun ini, saya cuba mendapatkan kembali rentak larian seperti sebelumnya.

"Saya juga akan cuba menyesuaikan diri dengan apa yang diberikan jurulatih Dwayne Miller.

"Tetapi saya masih selalu mendapatkan nasihat daripada jurulatih Poad," tambahnya.



Editor: Muzaffar Musa

Tentang Penulis

Staff Writer

Comment