Badminton: Impian Ee Yi-Yew Sin belum padam 

Oleh Shaiful Shamsudin 27 Mac 2020 78
Badminton: Impian Ee Yi-Yew Sin belum padam 
Impian beregu profesional negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin, untuk beraksi di pentas Sukan Olimpik kini bergantung kepada keputusan akhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Ia selepas Sukan Olimpik Tokyo 2020 ditunda ke tahun depan, persoalannya, apakah ia memberi lebih manfaat kepada wakil negara atau pun sebaliknya?

"Kalau (mata kelayakan) dikira semula maka semua peserta ada peluang.

"Peluang itu tidak besar tetapi kami tidak akan berputus asa kerana masih berpeluang," kata Ee Yi kepada Nadi Arena menerusi FaceTime hari ini.

Menurut Yew Sin pula: "Kalau proses kelayakan diteruskan, kami masih ada peluang dan perlu berjuang dan tekal dalam semua kejohanan."

Berikutan penundaan Sukan Olimpik Tokyo oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) akibat penularan wabak koronavirus baru (Covid-19), BWF telah mengemukakan cadangan untuk membekukan ranking dunia semasa kesemua pemain.

Gandingan itu menerima baik cadangan tersebut berdasarkan situasi terkini yang memaksa semua kejohanan yang menawarkan mata kelayakan dibatalkan.

"Ia adil buat semua pemain memandangkan kami tidak dapat menyertai kejohanan," kata Yew Sin lagi.

Buat masa ini, hanya gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik berada dalam kelompok 10 terbaik dunia manakala pesaing paling hampir, iaitu pemenang pingat perak edisi Rio 2016, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, dan Yew Sin-Ee Yi dibezakan dengan 731 mata dalam kalangan 20 terbaik dunia.


 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen