BAM guna formula berbeza soal kejurulatihan 

Oleh Staff Writer 20 September 2019 201
 BAM guna formula berbeza soal kejurulatihan 
Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Kenny Goh, mengakui badan induk itu perlu melakukan pembaharuan selepas beberapa negara mula mengambil langkah untuk meningkatkan prestasi pemain masing-masing.

Ia susulan China melakar sejarah dengan melantik jurulatih luar dari Korea Selatan, Kang Kyung-jin dan Yoo Yo-sung, untuk membimbing barisan pemain beregu.

Sementara itu, India pula turut menggunakan sentuhan jurulatih daripada Korea Selatan, Kim Ji-hyun, bagi mengendalikan pemain perseorangan wanita mereka yang kini di ranking kelima dunia, PV Sindhu.

"Saya fikir perlu mengakuinya. 

"Sejak hari pertama saya kembali dalam BAM, semua pihak perlu berfikir di luar kotak. 

"China dan India kini menggunakan khidmat jurulatih luar sementara Indonesia mula mengetengahkan pemain muda sejak 3-4 tahun lalu. 

"Kami juga perlu membuat langkah berbeza dengan menggunakan resipi yang sama setiap tahun tetapi menjangkakan keputusan yang berbeza," katanya dalam majlis pembukaan program Let's Badminton at Taiwan Excellence 2019 di Pusat Beli-belah 1 Utama, hari ini. 

Dalam pada itu, Kenny percaya pemain beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, mampu bangkit dalam saingan seterusnya selepas terkandas dalam pusingan pertama Terbuka China, kelmarin. 

Mereka tewas kepada wakil Jepun di ranking kelima dunia, Yuta Watanabe-Hiroyuki Endo, dengan kekalahan straight set 21-14, 21-17.

"Mereka dalam matlamat jangka masa sederhana dan panjang. 

"Saya masih percaya dengan kemampuan mereka." 
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen