Covid-19: Kejohanan Asia digantung sementara

Oleh Shaiful Shamsudin 21 Mac 2020 32
Covid-19: Kejohanan Asia digantung sementara
Situasi sukar akibat wabak koronavirus baru (Covid-19) yang melanda dunia ketika ini memaksa Malaysia menelan perit apabila satu lagi kejohanan utama yang menawarkan mata kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 digantung sementara oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF). 

Semalam, BWF mengumumkan penggantungan lima lagi kejohanan termasuk saingan Kejohanan Badminton Asia di Manila, Filipina, pada 21 hingga 26 April depan.

Ia sepatutnya berlangsung di Wuhan, China, namun dipindahkan ke Filipina gara-gara kebimbangan dicetuskan wabak itu.

Bagaimanapun, situasi kian serius apabila jiran Asia Tenggara itu -- turut mencatatkan peningkatan sebanyak 230 kes positif, semalam -- turut melaksanakan sekatan kemasukan orang luar ke negara itu bermula Isnin lalu.

Malaysia akur dengan ketetapan dibuat badan induk tersebut biarpun kejohanan itu menawarkan mata berharga untuk layak ke Sukan Olimpik.

"Kami sudah dapat kenyataan daripada BWF bahawa Kejohanan Asia tidak akan diteruskan (mengikut tarikh yang ditetapkan).

"Filipina juga telah memperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang begitu ketat. 

"Saya yakin BAC (Persekutuan Badminton Asia) akan membawa keputusan yang lain dan tentu sahaja kami menunggunya," kata Presiden BAM, Datuk Seri Norza Zakaria, di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara. 

BWF mencadangkan langkah itu mungkin akan diadakan di luar tempoh kelayakan Sukan Olimpik dan dalam masa sama, ketetapan sama ada akan wujud tarikh lanjutan kelayakan untuk ke temasya tersebut bakal diumumkan kelak.  

BAM tetap dengan polisi mengutamakan keselamatan dan kesihatan barisan pemain tatkala kesemua 21 pemain termasuk tujuh jurulatih menerima perkhabaran gembira, negatif Covid-19 sejurus pulang daripada menyertai Kejohanan Seluruh England minggu lalu.

"Keputusan saringan mereka adalah negatif dan ia satu berita baik untuk BAM.

"Kami berharap atlet kekal dengan gaya hidup sihat walaupun PKP ini.

"Semua rakyat Malaysia harus mematuhi arahan daripada kerajaan."
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen