Jin Wei gembira kembali ke gelanggang

Oleh Staff Writer 12 November 2019 341
Jin Wei gembira kembali ke gelanggang
Selepas sekian lama mengunci mulut, pemain perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei, akhirnya membuka bicara hati-ke hati bersama wartawan Nadi Arena, Shahrazad Sani, dengan mendedahkan mengapa dia merahsiakan penyakit misteri sebelum menjalani pembedahan usus bulan lalu.

Oktober dan November 2018 menyaksikan Jin Wei mencipta sejarah apabila memenangi pingat emas Sukan Olimpik Remaja di Argentina sebelum bergelar juara remaja dunia buat kali kedua di Kanada.

Dalam masa sama, Jin Wei mula didatangi penyakit yang membawa begitu banyak sengsara kepada kehidupan hariannya tetapi memilih untuk menanganinya demi impian ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Demi kelangsungan hidup, Jin Wei merelakan pembedahan membuang 1.5 meter daripada usus besarnya untuk mengatasi penyakit 'slow transit constipation' (STC) yang berpunca daripada sembelit kronik dan bermula hari ini, dia sudah memulakan misi kebangkitan semula.

"Kesakitan yang dialami membuatkan saya kerap tidak dapat tidur pada waktu malam. Ubat-ubatan yang diambil memberikan kesan sampingan apabila perlu kerap membuang air," kata Jin Wei.

"Sebelum ini, saya tidak memandang serius terhadap pembedahan yang dijalankan kerana menganggap ia sekadar pembedahan kecil dan dapat kembali berlatih dan beraksi dalam tempoh yang singkat. Namun, selepas selesai, saya dapat berasakan kesakitannya.

"Sekarang saya berasa semakin selesa dan doktor yang merawat saya juga tidak menjangkakan kadar proses pemulihan begitu pantas."

Bagaimanapun, peminat badminton tanah air perlu bersabar untuk melihat Jin Wei kembali ke prestasi sebenar walaupun sudah kembali memulakan latihan.

Realitinya, juara remaja dunia dua kali itu memerlukan proses pemulihan yang panjang sebelum boleh memulakan latihan intensif.

Perseorangan negara berusia 19 tahun itu juga sudah hampir pasti terpaksa melupakan impian ke Tokyo 2020 dengan sasaran realistik untuk membuat penampilan sulung di pentas Sukan Olimpik Paris 2024.

"Dia sudah bersedia beraksi di gelanggang tetapi program khas telah diberikan kepadanya dalam usaha untuk kembali pulih sepenuhnya dan mendapatkan semula tahap kecergasan.

"Saya berasakan ini adalah petanda baik buat Jin Wei sendiri serta skuad badminton negara," kata Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Wong Choong Hann.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen