Kejohanan Dunia: Tahap Momota berbeza -- Zii Jia

Oleh Staff Writer 23 Ogos 2019 4440
Kejohanan Dunia: Tahap Momota berbeza -- Zii Jia
Impian menzahirkan kejutan tidak kesampaian buat pemain kebangsaan, Lee Zii Jia, yang terpaksa akur dengan kehebatan Kento Momota selaku perseorangan lelaki nombor satu dunia ketika perebutan tiket separuh akhir Kejohanan Badminton Dunia 2019.

Pemain kelahiran Kedah itu memulakan pertemuan tersebut dengan baik, mengikut rentak lawan dari Jepun itu sehingga pertengahan set pertama.

Namun, babak seterusnya menyaksikan dia berdepan masalah, bukan sahaja untuk merencana taktikal sendiri, malah dipaksa mengejar bayang-bayang Momota.

Situasi itu menyaksikan dia buntu dalam pencarian mata serta gagal ketika menangani asakan pemain berusia 24 tahun itu.

"Sejak awal permainan dan sebelum mata ke-11, saya masih bermain dengan baik. Namun, selepas itu tahap konsisten saya berkurang. Mental juga sudah letih.

"Memang susah untuk fokus kepada setiap pukulannya kerana semuanya berkualiti. Saya cuba ikut tetapi terpaksa menerima keputusan ini," katanya.

Tewas 21-12, 21-8, Zii Jia akur Momota berada dalam kelas berbeza berbanding dia yang masih di luar kelompok 10 terbaik dunia.

"Kecewa gagal mengikut rentaknya dan saya perlu akur bahawa memang wujud perbezaan di antara saya dan dia. Ini salah satu kelemahan saya, iaitu tahap konsisten. Kini perlu pulang dan perbaikinya," tambah Zii Jia.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen