Kelayakan Sukan Olimpik 2020: Choon Eng cari formula julang anak didik

Oleh Staff Writer 12 Jun 2019 1327
Kelayakan Sukan Olimpik 2020: Choon Eng cari formula julang anak didik
Dua gandingan profesional, termasuk beregu campuran utama negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, perlu memanfaatkan segala pengalaman jurulatih, Chew Choon Eng, sebagai bekas Olimpian dalam usaha mereka untuk mengatasi kelemahan untuk menjamin penampilan dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Berbanding pemain di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), gandingan profesional, termasuk beregu lelaki, Tan Wee Kiong-Goh V Shem, menghadapi pelbagai kekangan, terutama kewangan, untuk memastikan tiket ke Tokyo.

Bagaimanapun, Choon Eng, yang pernah beraksi dalam Sukan Olimpik Athens 2004, menegaskan anak buahnya memiliki kemampuan untuk mencapai apa sahaja sasaran mereka. 

"Keyakinan mereka masih kurang dan sudah pasti, wujud juga kelemahan.

"Buat masa ini, kami perlu tingkatkan keupayaan mereka dan yang penting, mereka perlu ada keyakinan," kata jurulatih itu. 

Berdasarkan kemas kini ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF), dua gandingan profesional itu yang tidak terpilih dalam skuad Piala Sudirman, Mei lalu, ketinggalan berbanding wakil di bawah naungan BAM.

Untuk memastikan kelayakan mutlak, mereka perlu menempatkan diri dalam kelompok lapan terbaik sepanjang kelayakan itu yang akan tamat 29 April tahun depan.

Dua kejohanan terdekat yang menawarkan mata kelayakan berharga yang bakal disertai wakil Malaysia adalah Terbuka Indonesia dan Jepun, bulan depan. 

"Keyakinan kami masih ada, cuma ketika ini tahap prestasi kesemua beregu campuran dunia hampir sama.

"Dalam pertandingan, kalau dapat mempamerkan persembahan baik dan konsisten, maka kami boleh memenangi perlawanan. 

"Baru tiga kejohanan kelayakan Sukan Olimpik 2020 berlangsung, jadi masa masih panjang lagi untuk kita bercakap tentang siapakah yang akan layak," kata Peng Soon. 



 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen