Masters Korea Selatan: Dua wakil negara kecewa

Oleh Staff Writer 24 November 2019 4344
Masters Korea Selatan: Dua wakil negara kecewa
Harapan untuk menyaksikan Malaysia meraih kejuaraan dalam Kejohanan Badminton Masters Korea Selatan berakhir hampa apabila dua wakil negara tewas dalam aksi final di Gwangju hari ini. 

Beregu lelaki profesional, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, gagal meraih kejuaraan kedua musim ini apabila tumbang kepada beregu Taiwan, Lee Yang-Wang Chi Lin, dalam aksi tiga set.

Turun selaku pilihan ketujuh kejohanan, pasangan negara itu bermula perlahan sebelum tewas 19-21 dalam set pertama.

Mereka kemudian kembali menyalakan harapan dengan aksi kemas dalam set kedua sebelum memenanginya 22-20.

Bagaimanapun, bekas pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu gagal meneruskannya dalam set ketiga dan terpaksa akur terlepas kejuaraan dengan kekalahan 19-21.

Terdahulu, beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai, turut gagal memanfaatkan peluang untuk meraih kejuaraan pertama musim ini.

Dalam perlawanan akhir hari ini, pasangan negara itu tewas 14-21, 15-21 kepada gandingan Hong Kong, Tang Chun Man-Tse Ying Suet, dalam tempoh 34 minit.

Ia juga merupakan kali keempat berturut-turut Soon Huat-Shevon tumpas kepada pasangan di ranking ke-12 dunia itu.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen