Pei Jing mahu guna kesempatan di Basel

Oleh Staff Writer 13 Ogos 2019 852
Pei Jing mahu guna kesempatan di Basel
Beregu campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, bertekad untuk memanfaatkan undian mudah dalam Kejohanan Dunia di Basel bagi memastikan kemaraan ke suku akhir. 

Beraksi buat kali ketiga dalam kejohanan itu, undian yang baik menyuntik semangat pemain berusia 27 tahun itu bagi memastikan mereka terus melakukan kebangkitan kali ini selepas mengalami kemerosotan prestasi selama hampir dua tahun.

Mendapat laluan percuma dalam pusingan pertama, gandingan yang diletakkan selaku pilihan ke-14 itu akan berdepan sama ada pasangan bukan pilihan dari Jepun atau India dalam pusingan kedua.

Jika mara ke pusingan ketiga, pasangan itu akan mengharungi ujian pertama apabila dijangka berdepan pilihan keempat dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai.

"Cabaran utama kami adalah pusingan 16 terakhir ketika berdepan wakil Thailand. Kami pernah menang sebelum ini tetapi tewas dalam pertemuan terakhir dengan mereka. Kami agak gembira apabila meraih peluang kali ini berdepan mereka," kata Pei Jing.

Dalam masa sama, seorang lagi pemain beregu campuran, Goh Soon Huat, yang akan berpasangan dengan Shevon Lai, mengakui masih dibelenggu kecederaan paha kiri tetapi bertekad memastikan kesakitan itu tidak menjadi gangguan dalam Kejohanan Dunia nanti.

"Seperti biasa, selepas pulih daripada kecederaan, memang prestasi tidak begitu baik. Kami cuba bangkit lebih pantas. Kini, ia lebih kepada keadaan badan kami. Kami juga fokus kepada kepantasan dan ketahanan," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Norza Zakaria, mahu pemain negara mengekalkan semangat juang untuk mendekatkan jurang persaingan bersama kelompok terbaik. 

Memandangkan barisan negara belum pernah memenangi sebarang kejuaraan dunia, aksi di Basel nanti dilihat sebagai peluang untuk mengembalikan imej badminton kebangsaan yang mengalami pelbagai cabaran tahun ini.

"Ia sangat penting buat mereka untuk duduk dan berbincang agar kali ini saya mahu pemain dari Malaysia memberi impak besar kepada Kejohanan Dunia. Mereka perlu keluar dan muncul daripada Kejohanan Dunia sebagai legenda agar terus diingati," katanya.
 
Norza berkata demikian ketika hadir ke Akademi Badminton Malaysia (ABM) hari ini bagi meninjau persiapan pemain yang akan beraksi dalam Kejohanan Dunia yang bakal bermula 19 Ogos ini.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen