Piala Sudirman: Pemain muda BAM sedia sahut cabaran 

Oleh Staff Writer 22 Mac 2019 590
Piala Sudirman: Pemain muda BAM sedia sahut cabaran 
Kata putus kembali ke gelanggang kompetitif terletak di tangan Datuk Lee Chong Wei ketika penyenaraiannya dalam skuad Piala Sudirman 2019 di Nanning, China, Mei depan, menjadi tanda tanya.

Chong Wei sudah dua kali dinafikan peluang untuk kembali ke gelanggang kompetitif susulan rawatan kanser hidung.

Selepas Kejohanan Seluruh England awal bulan ini, Chong Wei terpaksa menangguhkan hasratnya untuk memburu gelaran ke-13 dalam Terbuka Malaysia.

"Mengenai Chong Wei, kami tidak mahu dia kembali beraksi tetapi sehari kemudian dia jatuh sakit.

"Baktinya untuk negara sudah cukup dan saya menasihati kepada anda semua agar berilah dia ruang dan masa. Sebaik sudah bersedia, maka dia akan kembali," kata Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Norza Zakaria.

Peluang Malaysia untuk mara suku akhir disifatkan sebagai sukar selepas diundi sekumpulan dengan China dan India.

"Ramai yang mengatakan Malaysia dalam kumpulan maut kerana diundi bersama India dan China tetapi hakikatnya dalam saingan di peringkat ini, setiap kumpulan setidak-tidaknya mempunyai pasukan yang sukar untuk ditentang," tambahnya. 

Dasar meremajakan skuad kebangsaan diteruskan dalam pemilihan kempen Piala Sudirman ketika bakat muda seperti perseorangan lelaki, Lee Zii Jia, manakala finalis Seluruh England 2019 dalam acara beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, sudah berada di tahap prestasi memuaskan.

Senario itu meletakkan wakil profesional seperti beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, dan beregu lelaki, Tan Wee Kiong-Goh V Shem, dalam situasi sukar untuk mewakili Malaysia.

"Ini juga sebahagian daripada pengurusan yang berjaya. 

"Kalau dulu mengenai pemain yang akan dipertaruhkan, kita pasti akan terus mengaitkan gandingan beregu Wee Kiong-V Shem dan Peng Soon-Liu Ying. 

"Tetapi BAM juga mempunyai pemain berkaliber yang berasakan mereka wajar diberi peluang," kata Norza. 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen