Reezal Merican: Zee Jia antara prospek emas Sukan Olimpik

Oleh Muzaffar Musa 20 Mei 2020 149
Reezal Merican: Zee Jia antara prospek emas Sukan Olimpik
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, mencanang perseorangan badminton lelaki negara, Lee Zii Jia, sebagai prospek pingat emas dalam Sukan Olimpik Tokyo tahun depan.

Dalam temubual eksklusif bersama Astro Arena semalam, Reezal Merican yakin pingat emas Sukan Olimpik mampu diraih menerusi sukan badminton selain jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang.

Sandaran itu diletakkan berdasarkan beberapa pencapaian dan peningkatan dalam ranking dunia yang dicapai Zii Jia kebelakangan ini.

"Prestasi Lee Zii Jia sedang meningkat seperti dalam Kejohanan Seluruh England lalu.

"Dia prospek pingat, bahkan pingat emas.

"Saya berani katakannya. Jangan pandang rendah kerana badminton juga boleh melakukannya.

"Dalam keadaan dia menang ke atas Jonatan Cristie, kemudian Chen Long dan dia juga hanya kalah tipis 21-19 kepada Viktor Axelsen.

"Pada waktu ini, dia dianggap sebagai saingan yang cukup hebat di pentas badminton dunia dengan usia dan keadaannya," katanya.

Kenyataan itu turut disokong ketua jurulatih skuad perseorangan lelaki negara, Hendrawan, yang menganggap sasaran berkenaan realistik biarpun Zii Jia kini berada di ranking ke-10 dunia.

"Yang pasti, apa-apa sahaja boleh terjadi dalam Sukan Olimpik kerana ramai juara Sukan Olimpik sebelum ini berada dalam kelompok ranking kelapan terbaik dan bukan pilihan utama.

"Sebagai jurulatih, kami akan memberikan yang terbaik," katanya.

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen