Teong Kim hampir pasti tidak disambung kontrak 

Oleh Staff Writer 13 Jun 2019 9236
Teong Kim hampir pasti tidak disambung kontrak 
Ikatan Lim Teong Kim bersama Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) hampir pasti terlerai apabila Pengerusi Jawatankuasa Teknikal NFDP, Datuk Seri Subahan Kamal, memberi bayangan kontraknya tidak akan dilanjutkan.

Kontrak Teong Kim yang bernilai RM175,000 sebulan akan berakhir 31 Oktober depan. 

Ketika ini, dia hanya memegang jawatan Pengarah Akademi Mokhtar Dahari AMD susulan tugasnya sebagai pengarah teknikal NFDP diambil alih oleh Saad Ichalalene.

Tampak sudah hilang kuasa, beliau dikatakan hanya menghabiskan saki-baki masa di Gambang, Pahang, sebelum mengucapkan selamat tinggal.

"Kami akan membincangkan perkara ini dalam mesyuarat akan datang. 

"Saya hanya terlibat dalam isu teknikal manakala kuasa lantikan adalah di bawah Menteri Belia dan Sukan (Syed Saddiq Syed Abdul Rahman) dan juga Jawatankuasa Kerja NFDP, Datuk Ahmad Shapawi Ismail, minggu depan," katanya. 
 
Terdahulu, Subahan memberi kata-kata semangat kepada Ali Imran Sukari dan Harith Haikal Adam Akfkar yang terpilih menyertai Program Asian Eleven 2019.

Dua pemain bawah 18 tahun negara itu berlepas ke Fukushima, Jepun, hari ini dengan keazaman untuk menambat hati pencari bakat sepanjang berada di sana. 

"Kami akan cuba berikan aksi terbaik dalam latihan dan perlawanan yang diaturkan. 

"Kami akan cuba menambat hati pencari bakat dan menandatangani kontrak di sana. 

"Adalah menjadi cita-cita saya dan harapan Teong Kim untuk melihat kami bermain di luar negara, ," kata Ali Imran.

Tambah Haraith: "Kami akan buktikan bakat yang ada dan kalau ada yang berminat, Insya-Allah (semuanya akan menjadi kenyataan)."
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen