Terbuka China: Aaron-Wooi Yik akhiri badi kekalahan

Oleh Bernama 8 November 2019 18080
Terbuka China: Aaron-Wooi Yik akhiri badi kekalahan
Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menamatkan badi empat kekalahan kepada juara dunia, Muhammad Ahsan-Hendra Setiawan, apabila menyingkirkan pasangan Indonesia itu dalam suku akhir Terbuka China di Fuzhou, hari ini.

Beregu bukan pilihan itu, yang memasang impian merangkul emas  Sukan SEA Filipina 2019, melakukan kejutan terbesar terhadap pasangan ranking kedua dunia itu dengan kemenangan 21-13, 22-20 untuk melangkah ke separuh akhir esok.

Beregu negara, yang menghuni ranking ke-14 dunia itu mencipta kemenangan pertama dalam empat pertemuan dengan Ahsan-Hendra sebelum ini, termasuk final All-England, Mac lalu, hanya memerlukan masa 26 minit untuk menempah slot separuh akhir.

Beregu muda negara itu akan menentang pilihan keempat dari Jepun, Takeshi Kamura-Keigo Sonoda, esok.

Sementara itu, beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai, turut melangkah ke separuh akhir selepas mengejutkan pilihan ketiga kejohanan dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai, 21-13, 21-18.

Bagaimanapun, buruan ke pentas final dijangka sukar apabila menentang pasangan ranking pertama dunia, Zheng Si Wei-Huang Ya Qing dari China, esok.

Dalam pada itu, beregu campuran profesional negara, ​​​​​​​Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, gagal mengekalkan momentum set pertama sebelum tewas di tangan pasangan nombor dua dunia dari China, Wang Yilyu-Huang Dongping, 21-18, 13-21, 22-24.

Nasib sama dialami beregu wanita negara, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean, apabila kalah 15-21, 14-21 kepada pasangan Jepun yang juga pilihan kedua, Yuki Fukushima-Sayaka Hirota.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen