Terbuka China: Wee Kiong-V Shem akhiri cabaran negara 

Oleh Staff Writer 20 September 2019 14723
Terbuka China: Wee Kiong-V Shem akhiri cabaran negara 
Malaysia tidak mempunyai wakil dalam separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka China setelah beregu lelaki, Tan Wee Kiong-Goh V Shem, tewas straight set kepada lawan dari Indonesia dalam pertarungan di Pusat Gimnasium Sukan Olimpik, Changzhou, sebentar tadi. 

Beregu profesional negara itu semakin menyerlah sejak kebelakangan ini, terutama selepas menjuarai Terbuka Taiwan awal bulan ini, tetapi terpaksa akur dengan pilihan kejohanan, Marcus Gideon-Kevin Sukamuljo.

Beregu Indonesia itu nyata enggan memberi laluan mudah dan terus menghantui Wee Kiong-V Shem yang kali terakhir menewaskan mereka dalam Terbuka Switzerland pada 2015. 

Saingan sengit ditampilkan kedua-dua beregu itu tetapi kesilapan mudah menyaksikan Marcus-Kevin memenangi set pertama 21-15.

Taruhan negara di ranking ke-12 dunia itu cuba bangkit dalam set seterusnya, namun menemui jalan buntu untuk akur dengan kekalahan 17-21.

Keputusan itu menyaksikan tiada lagi wakil negara dalam kejohanan itu setelah beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai dan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, terlebih dahulu terkandas dalam suku akhir.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen