Vivian akur cabaran getir ke Tokyo 2020

Oleh Staff Writer 12 Julai 2019 889
Vivian akur cabaran getir ke Tokyo 2020
Pemain beregu wanita negara, Vivian Hoo, berdepan misi mustahil dalam usaha melonjakkan ranking untuk merebut slot yang berkemungkinan menjadi penampilan terakhir seandainya layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Vivian masih mempunyai impian untuk layak buat kali kedua ke pentas Olimpik meskipun kini bergandingan dengan pemain muda, Yap Chen Weng.

Harapan masih ada untuk ke Tokyo 2020 apabila mereka kini di tangga ke-18 dalam ranking kelayakan, namun perlu berusaha keras memandangkan rakan sepasukan, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean, turut memburu tiket sama.

Dia yang kini sudah berusia 29 tahun membayangkan sukar untuk terus berkhidmat sehingga edisi Olimpik seterusnya di Paris lima tahun lagi sekiranya gagal mencapai misi kali ini.

"Memang beraksi di pentas Olimpik merupakan impian semua pemain. Saya sudah ke Rio 2016 tetapi ini adalah sasaran utama saya. Usia saya tidak muda lagi, jadi ia akan jadi penampilan terakhir saya," katanya.

Di atas kertas, sukar untuk Vivian menempatkan diri dalam kelompok lapan terbaik yang menawarkan dua slot buat setiap negara, sekali gus memaksanya mengejar tiket tunggal Malaysia ke Tokyo 2020 bermula di tangga ranking 9 hingga 16.

"Seperti saya katakan, memang kami tidak fikir banyak. Memang susah untuk kedua-dua gandingan masuk dalam kelompok lapan terbaik. Negara lain seperti China juga sukar meraih pencapaian itu," tambahnya.

 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen