Jerman baru? Mampukah Low?

Oleh Syakirah Zulkifly 22 March 2019 2162
Jerman baru? Mampukah Low?
Ketua jurulatih Jerman, Joachim Low, mengambil risiko memulakan pasukan baru dengan menggugurkan tiga pemain veteran, Jerome Boateng, Mats Hummels dan Thomas Mueller, sehingga mencetus kontroversi dua minggu lalu. 

Walaupun tiga nama itu antara tonggak utama Jerman ketika menjuarai Piala Dunia 2014, Low tetap percaya dengan perancangannya dalam usaha untuk memperbaharui pasukan itu. 

Keputusan pengendali itu turut dikritik pegawai Bayern Munich kerana pilihannya menggugurkan trio kelab Bavaria itu menyebabkan mereka tersingkir di peringkat kumpulan Piala Dunia tahun lalu sebelum mengalami penyingkiran daripada kelompok teratas Liga Negara-Negara UEFA.

Dalam saingan yang baru memasuki edisi pertama itu tahun lalu, Jerman mempamer aksi kurang memuaskan sehingga menghuni kedudukan terakhir di bawah Perancis dan Belanda dalam Kumpulan 1 Liga A. 

Namun, kehadiran tiga muka baru seperti bek kanan RB Leipzig, Lukas Klostermann, pertahanan Hertha Berlin, Niklas Stark, serta tonggak tengah Werder Bremen, Maximilian Eggestein, mendapat kepercayaan Low untuk memperkuatkan skuad kendaliannya.   

Low berpuas hati dengan prestasi yang ditonjolkan barisan pemain ‘Jerman Baru’ dalam perlawanan persahabatan menentang Serbia walaupun mereka dilihat bergelut sebelum mencatat keputusan 1-1 sambil pengurus berusia 59 tahun itu mengakui wujud masalah komunikasi antara pemain ketika ini. 

Low juga percaya masalah itu mampu diperbaiki sebelum bermula saingan kompetitif lebih besar seperti Piala Dunia 2022 khususnya dan proses itu dimulakan dengan aksi bertemu Belanda bagi kempen kelayakan Euro 2020 Isnin depan.

Bagaimanapun, pemain-pemain berpengalaman yang dikekalkan seperti penjaga gol, Manuel Neuer, dan pemain tengah, Mesut Ozil, perlu menggalas tanggungjawab besar bagi membantu Low membentuk skuad lebih ampuh atau mereka mungkin berdepan kemungkinan bergelut dengan masalah prestasi bagi tempoh masa yang panjang.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen