15 pemain Malaysia berpeluang berdepan akademi Cerezo Osaka

Oleh Bernama 11 November 2019 556
15 pemain Malaysia berpeluang berdepan akademi Cerezo Osaka
15 pemain bola sepak B-15 tahun Malaysia bukan sahaja berpeluang menyaksikan secara langsung perlawanan Liga Jepun (J-League) tetapi berpeluang beraksi menentang pasukan akademi Cerezo Osaka dalam satu perlawanan persahabatan di Osaka, Jepun, Jun tahun depan.

Peluang tersebut terbuka, berikutan satu Perjanjian Persefahaman (MoU) di antara Yakult (Malaysia) Sdn Bhd dan Kelab Bola Sepak Cerezo Osaka, Jepun di sini hari ini yang menyaksikan pengeluar minuman probiotik utama negara itu dilantik sebagai rakan kongsi strategik ASEAN untuk kelab Jepun itu.

Pengarah Urusan, Hiroshi Hamada, menandatanginya bagi pihak Yakult (M) Sdn Bhd manakala Cerezo Osaka diwakili Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Horoaki Morishima.

Berucap di majlis tersebut, Hamada berkata syarikatnya akan memberikan sokongan kepada pelbagai aktiviti yang dianjurkan kelab Jepun itu di Malaysia, termasuk ‘Malaysia Dream Project 2020’.

Hamada mendedahkan projek tersebut adalah hampir serupa dengan ‘ASEAN Dream Project’ yang melibatkan tiga negara, iaitu Malaysia, Thailand dan Myanmar, September lalu, namun mereka merubah fokus untuk penghasilan bakat dari Malaysia tahun depan.

“Kami menjangkakan kira-kira 100 peserta dari setiap kawasan, iaitu kawasan tengah, Semenanjung (kawasan utara atau selatan) dan juga kawasan Borneo sama ada Sabah atau Sarawak untuk proses pemilihan,” kata Hamada dan menambah beberapa jurulatih dari akademi Cerezo Osaka akan menilai bakat setiap pemain semasa proses pemilihan.

Sementara itu, Morishima berkata mereka yang terpilih akan menjalani latihan tiga hari di Osaka sebelum berhadapan pasukan akademi Cerezo Osaka dalam perlawanan persahabatan selain peserta akan dibawa ke padang latihan kelab tersebut.

“Selepas itu, terpulang kepada jurulatih Cerezo Osaka sama ada memberikan peluang kepada 15 pemain tersebut untuk menjalani latihan percubaan bersama pasukan itu atau pulang ke Malaysia.

"Namun, diharapkan beberapa pemain Malaysia akan diberikan peluang menunjukkan bakat mereka,” katanya yang juga bekas pemain antarabangsa Jepun yang bermain bersama Cerezo Osaka selama 17 tahun sebelum dilantik sebagai presiden kelab Disember lalu.

Untuk rekod, Yakult Malaysia dengan kerjasama Televisyen Osaka dan Cerezo Osaka melancarkan Asean Dream Project pada 2018 dan 2019 dalam mencari bintang bola sepak masa depan bagi rantau ASEAN.

Tiga negara ASEAN, iaitu Malaysia, Vietnam dan Thailand, terpilih untuk edisi 2018 sebelum Myanmar mengantikan Vietnam untuk edisi 2019 yang berlangsung September lalu.

Setiap negara diberikan lima slot di mana pemain yang terpilih dihantar menjalani latihan selain menyaksikan perlawanan Liga Jepun.

-- BERNAMA

IMEJ: Yakult Malaysia

Tentang Penulis

Bernama

Komen