AFC B-19: Hodak mahu Malaysia buru gol awal

Oleh Staff Writer 23 Oktober 2018 2632
AFC B-19: Hodak mahu Malaysia buru gol awal
Selain memburu gol awal dan mahu mematikan pergerakan pemain lawan, pengendali skuad B-19 negara, Bojan Hodak, berharap perubahan besarnya di bahagian pertahanan mampu memastikan tiada sebarang gol mudah dilepaskan untuk aksi kedua Kejohanan AFC B-19 menentang Tajikistan, malam ini.

Perlawanan ini bukan sahaja dilabel aksi penentu buat pasukan negara tetapi menguji sejauh mana karakter pemain berdepan tekanan untuk bangkit beraksi lebih baik atau semakin layu dijamah lawan.

Setelah kecewa melihat kegoyahan barisan pertahanan, Hodak dijangka mengekalkan Shivan Pillay Asokan manakala Nabil Hakim Bokhari dan Feroz Baharudin bertindak selaku pertahanan kiri dan kanan.

Antara pemain yang perlu diawasi ialah ketua pasukan, Ehsoni Panshabe dan Solehov Sharafjon yang bergandingan untuk merakamkan kemenangan 1-0 ke atas ke atas China.

"Jaringan sentiasa mengubah rentak permainan. Kesilapan yang berlaku dalam aksi terdahulu perlu diperbaiki di barisan pertahanan. Tajikistan memiliki pemain-pemain yang laju dan sentiasa memburu gol," kata Hodak.

Mengenai kecederaan pemain, Hodak mendedahkan ketua pasukan, Syaiful Alias, dan K. Thivandaran, dijangka tidak dapat diturunkan sementara Akhyar Rashid terus berdepan masalah kerana mengadu mengalami masalah bahagian pangkal paha.

"Terdapat perubahan dalam kesebelasan utama. Syaiful menyatakan dia masih belum bersedia untuk beraksi tetapi kami akan cuba yang terbaik untuk perlawanan ini."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen