AFC B-19: Laluan Malaysia ke suku akhir makin sempit

Oleh Staff Writer 23 Oktober 2018 18651
AFC B-19: Laluan Malaysia ke suku akhir makin sempit
MALAYSIA 2 TAJIKISTAN 2

Harapan Malaysia menempah slot ke suku akhir Kejohanan AFC B-19 semakin malap apabila menamatkan perlawanan kedua Kumpulan D berdepan Tajikistan dengan keputusan seri 2-2 di Stadium Patriot Candrabhaga, Bekasi sebentar tadi.


Malaysia tewas 2-1 kepada Arab Saudi dalam aksi pertama saingan di Indonesia dan meletakkan sasaran untuk mencipta kemenangan ketika berdepan Tajikistan yang melakar kejutan apabila menundukkan China 1-0.

Hadi Fayyadh Abdul Razak dan Nabil Hakim Bokhari meledak jaringan buat Malaysia sementara Ehson Panshanbe serta Yodgorov Daler memastikan skuad kendalian Ergashev Mubin itu berada dalam persaingan untuk mara ke pusingan seterusya.

Malaysia menepati ramalan apabila pengendali pasukan, Bojan Hodak mahukan anak buahnya mencari gol awal  -- perancangannya membuahkan hasil selepas Nik Akif Syahiran Nik Mat berjaya melakukan lorongan mencari Hadi yang membuka jaringan pada minit ke-11.

Tajikistan meningkatkan rentak permainan dengan mengasak kubu pertahanan Malaysia. Panshanbe meledak gol penyamaan menerusi sepakan penalti sebelum menggandakan jaringan pada penghujung separuh masa pertama setelah tampanan Daler gagal dinafikan oleh penjaga gol negara, Azri Ghani.

Ketika Tajikistan mendahului permainan, Malaysia berjaya menemui jalan untuk mengikat perlawanan apabila sepakan percuma Nabil 10 minit selepas perlawanan bersambung menghidupkan peluang mereka untuk mencipta kemenangan.

Bagaimanapun, Malaysia terpaksa meneruskan permainan dengan 10 pemain apabila terjahan keras Nabil menyaksikan Ziyovuddin Fuzaylov mengalami patah kaki dan pengadil perlawanan terpaksa melayangkan kad merah.

Perlawanan kembali seimbang, psikologi pemain-pemain Tajikistan yang tidak berpuas hati dengan tindakan Nabil apabila giliran Nurmatov Khuseyn dilayangkan kad merah apabila melakukan kekasaran ke atas Ramadhan Saifullah Usman.

Malaysia dan Tajikistan tidak putus melancarkan serangan pada penghujung permainan, namun kedua-dua pasukan harus berpuas hati dengan satu mata.

Keputusan ini menyaksikan Malaysia meraih mata pertama dalam saingan kali ini manakala Tajikistan menghuni tangga kedua dengan empat mata.

Arab Saudi menghuni tangga teratas kumpulan selepas merakamkan kemenangan kedua ke atas China 1-0.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen