AFC, FIFA beri sokongan penuh kepada kejohanan kelab ASEAN

Oleh Bernama 6 November 2019 92
AFC, FIFA beri sokongan penuh kepada kejohanan kelab ASEAN
Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino, dan Presiden Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Shaikh Salman Ebrahim Al Khalifa, memberikan sokongan penuh mereka kepada penganjuran buat julung kali Kejohanan Kelab ASEAN (ACC) yang bermula tahun depan.

ACC adalah kejohanan yang mengetengahkan 12 kelab terkemuka daripada kalangan ahli persatuan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF).

“Kami berkongsi rancangan kami untuk kejohanan kelab dengan Presiden Infantino dan Yang Teramat Mulia Shaikh Salman dan kedua-dua mereka menyokong. 

"Kami amat berterima kasih kerana mendapat sokongan penuh daripada FIFA dan AFC,”  kata Presiden AFF, Mej Jen  Khiev Sameth, dalam satu kenyataan hari ini.

Direka untuk menyokong dan memberi insentif kepada kelab terkemuka ASEAN, AFF percaya ACC akan menjadi platform utama untuk peringkat seterusnya dalam pembangunan serantau bagi permainan tahap tinggi bertaraf profesional. 

ACC yang dianjurkan dan diiktiraf AFF, akan menyediakan satu fokus untuk meningkatkan pengalaman setiap venue, baik untuk peminat mahupun pemain, selain daripada memberikan ganjaran kepada pasukan-pasukan yang berjaya. 

Setiap kelab akan menerima yuran penyertaan dari pusingan awal dengan peningkatan hadiah wang tunai apabila mereka mara dalam kejohanan.

“Ini adalah kali kedua AFF membincangkan ACC dengan Infantino, kali pertama di Vientiane bulan lalu dalam satu mesyuarat dihadiri AFF, termasuk Presiden Laos FA, Viphet Sihachakr," katanya.    

Sameth berkata mereka mengambil masa untuk mewujudkan pelan yang bersepadu dan menyeluruh ini kerana terdapat banyak faktor untuk difikirkan, termasuk memastikan tiada konflik dalam penjadualan liga tempatan, perlawanan di bawah program FIFA dan AFC termasuk lanjutan Liga Juara-Juara AFC (ACL) .

Beliau berkata AFF juga perlu melihat kepada beberapa perkara penting seperti penjenamaan, hadiah wang tunai, format pertandingan selain daripada berunding dengan pelbagai rakan kongsi komersial beberapa bulan lalu sebelum mendapat kelulusan daripada Majlis AFF.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen