Atletico Madrid adalah hidup saya -- Simeone

Oleh Staff Writer 26 Januari 2020 374
Atletico Madrid adalah hidup saya -- Simeone
Diego Simeone berazam untuk mengubah nasib Atletico Madrid sambil menjelaskan betapa pentingnya kelab kepada dirinya.

Simeone mengharungi saat sukar di Wanda Metropolitano, dengan Atleti kini telah tewas tiga perlawanan dalam semua kejohanan menjelang aksi LaLiga berdepan Leganes hari ini.

Real Madrid mengatasi mereka dalam aksi final Piala Super Sepanyol menerusi penentuan sepakan penalti dan Atleti kemudian dikejutkan kelab bawahan, Cultural Leonesa, dalam saingan Copa del Rey.

Simeone menegaskan prestasi kurang cemerlang tidak berpunca kerana hilang minat terhadap pasukan.

"Saya sentiasa mengutamakan pasukan. Saya tidak berasakannya saat kami mengalami kekalahan atau kemenangan tetapi saya sentiasa mengutamakan pasukan ini.

"Kadangkala saya tidak dapat tidur memikirkan kesebelasan utama untuk perlawanan final atau kerana kami tewas, atau tidak tahu memilih pemain yang mampu melakukan yang terbaik kepada pasukan.

"Atletico Madrid adalah hidup saya. Kami akan mengekalkan perancangan yang sama, dengan semangat dan keghairahan.

"Kami akan meneruskan hidup dalam setiap perlawanan ke perlawanan seterusnya dan tiada apa yang mengubah hidup saya."

Simeone menerima beliau berhak dikritik atas persembahan yang mengecewakan, namun kekal percaya dengan kemampuan pasukannya.

"Sememangnya kami telah mengharungi dua kekalahan. Setiap kritikan yang diberikan adalah adil, namun saya tetap yakin dengan kemampuan pemain-pemain saya.

"Saya menerima dan memahaminya dan berharap untuk bangkit ketika berdepan Leganes."

Atleti dijangka turun tanpa khidmat pertahanan, Santiago Arias, selepas disahkan mengalami kecederaan otot ketika bertemu Cultural.




Editor: Ammar Hakim

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen