Atletico Madrid tidak seburuk diperkatakan -- Klopp

Oleh Staff Writer 18 Februari 2020 506
Atletico Madrid tidak seburuk diperkatakan -- Klopp
Jurgen Klopp menjangkakan cabaran getir daripada Atletico Madrid dan tidak percaya mereka melalui musim yang buruk seperti yang diperkatakan ramai menjelang pertemuan pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara Eropah, awal pagi esok.

Beberapa musim sebelum ini, Atletico merupakan pencabar elit pentas Eropah tetapi turun dalam aksi awal pagi esok sebagai pasukan bukan pilihan.

Skuad kendalian Diego Simeone itu kini menduduki tangga keempat LaLiga, bergelut untuk meraih slot ke Liga Juara-Juara musim depan dan dijangka berdepan kesukaran menentang pendahulu Liga Perdana Inggeris, Liverpool.

Klopp tidak pasti sama ada perubahan yang dialami di Wanda Metropolitano susulan penghijrahan Antoine Griezmann, Diego Godin dan Lucas Hernandez memberikan kesan besar kepada Atletico.

"Menentang Atletico merupakan salah satu perkara paling sukar buat pemain bola sepak," katanya.

"Mereka sangat tersusun, mencipta keputusan seperti mesin dan berupaya mengubah keadaan dalam setiap perlawanan jika berpeluang.

"Ya, orang ramai memberitahu mereka tidak melalui musim yang baik tetapi ia adalah tempoh perubahan, itu normal. Mereka masih berjuang dengan apa yang dimiliki. Anda tidak menerima banyak peluang dan ia sangat sukar.

"Apa yang mereka tampilkan setakat ini tidak seburuk seperti diperkatakan dan ia tidak memberi kesan kepada apa yang bakal berlaku awal pagi esok.

"Mereka akan beraksi dengan lebih baik esok dan dalam aksi seterusnya, siapa yang lebih banyak berjuang dan penuh keinginan akan meneruskan kemaraan, bukan pasukan yang beraksi dalam Liga Perdana Inggeris atau LaLiga. Ia mudah.

"Namun, kami di sini semestinya mempunyai cita-cita. Kami akan mencuba."

Klopp juga tidak berminat dengan dakwaan Atletico tidak menampilkan aksi menghiburkan tetapi berpendapat ia sesuatu yang hebat.

"Tiada apa boleh saya katakan kepada mereka. Aksi menghiburkan adalah kejayaan. Bagi saya, ia menarik perhatian.

"Ia sangat getir. Kepantasan, agresif, perancangan yang jelas serta falsafah yang mantap.

"Saya tahu kami berada di Sepanyol, negara di mana wujudnya tiki-taka tetapi saya dari Jerman. Saya sukakan perkara sebegitu. Bagi saya, tiada apa perlu dibincangkan."

Klopp juga sedar Liverpool akan berdepan masalah jika mereka tidak beraksi di tahap sebenar.

"Jika ada pasukan yang memerlukan anda untuk berada di tahap terbaik, ia adalah Atletico," katanya.

"Jika anda bekerja keras, anda akan mendapat peluang. Jika tidak, tiada sebarang harapan. Itu kebenarannya."

Bercakap mengenai cara Simeone ketika di tepi padang, Klopp menambah: "Orang ramai berkata saya beremosi di tepi padang. Jika saya di tahap empat, Simeone berada di tahap 12.

"Saya seperti anak didiknya. Ia sangat mengujakan. Sepanjang lapan tahun dan dia masih memilikinya, ia sesuatu yang hebat.

"Pasukannya sentiasa menampilkan perancangan rapi dan ia membuatkan Simeone seorang yang hebat."


Editor: Nafis Abdullah

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen