Belanda untung jika Depay tinggalkan Lyon, kata Koeman

Oleh Staff Writer 13 November 2019 1924
Belanda untung jika Depay tinggalkan Lyon, kata Koeman
Jika Memphis Depay meninggalkan Olympique Lyon dan menyertai kelab lebih besar, ia akan memberi manfaat buat Belanda, kata Ronald Koeman.

Pemain berusia 25 tahun itu menyertai kelab Ligue 1 itu pada Januari 2017 dan kembali memulihkan karier selepas melalui tempoh 18 bulan yang mengecewakan bersama Manchester United.

Dia menjaringkan 29 gol dalam dua musim pertama Ligue 1 dan meraih tujuh jaringan hasil daripada 10 perlawanan musim ini, yang membolehkannya dikaitkan dengan beberapa pasukan, termasuk Tottenham Hotspur.

Walaupun menyifatkan Lyon sebagai kelab besar berdasarkan reputasi kelab itu, pengendali Belanda, Koeman, percaya pasukan kendaliannya itu akan menerima manfaat jika Depay menyertai pasukan baru tahun depan.

"Dia beraksi di Lyon, malah kadangkala menjadi kapten," katanya.

"Realitinya, tidak beraksi buat kelab terbesar di dunia tidak memberikan kesan kepada tempatnya dalam skuad kebangsaan tetapi jika dia mewakili pasukan lebih besar, ia membantu kami.

"Namun, Lyon juga adalah kelab besar yang sentiasa bersaing dalam Liga Juara-Juara Eropah. Sekali lagi, beraksi buat Lyon tidak bermakna dia tidak akan dipilih ke dalam skuad kebangsaan.

"Anda sentiasa berharap setiap pemain akan mewakili kelab terbesar yang mencabar hadiah utama.

"Saya fikir dia merupakan pemain yang patut beraksi untuk kelab seperti itu. Jika ia adalah Liga Perdana Inggeris atau kelab besar yang lain, semestinya situasi itu bagus buat Depay. Namun, anda perlu bertanya kepadanya mengenai perancangannya."

Depay membarisi kesebelasan utama Belanda dalam lima daripada enam perlawanan kelayakan Euro 2020 tetapi masih belum pasti bersedia untuk kunjungan ke Ireland Utara, Sabtu ini akibat kecederaan.

Penggempur itu turut terlepas kemenangan 2-1 ke atas Belarus bulan lalu dan Koeman berkata: "Ia mirip kecederaan lama sebelum ini tetapi kali ini kaki yang berbeza.

"Dia sangat positif kerana kali terakhir dia berada di atas padang adalah 10 hingga 12 hari lalu. Masih terlalu awal untuk berkata dia bersedia menghadapi Ireland Utara.

"Mungkin dia akan terlepas perlawanan pertama tetapi akan beraksi menentang Estonia. Kami perlu menanti perkembangannya setiap hari."

Keputusan seri di Belfast sudah cukup untuk Belanda mengesahkan tempat dalam pusingan akhir Euro 2020 tetapi Koeman menyasarkan kemenangan berturut-turut untuk menamatkan cabaran Kumpulan C di atas Jerman.

"Ia merupakan dua aksi terakhir. Lebih bagus jika kami layak awal. Keputusan seri sudah cukup tetapi saya lebih gembira untuk mengutip enam mata dan mengungguli kumpulan.

"Akhirnya, kelayakan adalah matlamat kami tetapi saya mahu menamatkan saingan di tangga pertama."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen