Celta buat Real Madrid berputih mata

Oleh Staff Writer 17 Februari 2020 53
Celta buat Real Madrid berputih mata
Eden Hazard kembali selepas berehat selama tiga bulan akibat kecederaan ketika Real Madrid dipaksa seri 2-2 dengan Celta Vigo, justeru Thibaut Courtois yakin penggempur itu akan menjadi kunci buat skuad bimbingan Zinedine Zidane itu.

Masalah pergelangan kaki mengetepikan Hazard sejak akhir November lalu dan dia membuat kemunculan semula pada awal pagi tadi dengan memenangi sepakan penalti yang disempurnakan Sergio Ramos untuk meletakkan Madrid 2-1 di depan dalam babak kedua.

Penyerang, Santi Mina, mengakhiri rentetan lima kemenangan Madrid dalam LaLiga pada minit ke-85 untuk memastikan skuad bimbingan Zinedine Zidane itu mengatasi seteru ketat, Barcelona, di puncak liga dengan satu mata menjelang perlawanan 'El Clasico'. 

Bagaimanapun, kepulangan kapten Belgium itu, yang hanya sekali mencetak gol dalam sembilan perlawanan liga sejak dipancing daripada Chelsea awal musim ini, dilihat sebagai satu perkembangan yang menggalakkan untuk oleh rakan senegaranya berkenaan.

"Sedikit demi sedikit dia akan mengembalikan prestasi sebenar selepas berehat tiga bulan," kata Courtois, yang turut beraksi di samping Hazard di Stamford Bridge, kepada Movistar.

"Dia pemain yang sangat bernilai buat kami."

Madrid dikejutkan dengan jaringan Fedor Smolov -- gol sulungnya bersama Celta  -- pada minit ketujuh.

Tuan rumah gagal mencipta sebarang percubaan tepat sepanjang 45 minit awal, tetapi gol keenam Toni Kroos -- yang hanya terlibat dalam 14 LaLiga musim ini -- menjadikan kedudukan 1-1 sebelum Hazard memainkan peranan untuk memenangi sepakan penalti yang disudahkan Ramos.
 
Namun, benteng goyah mereka menyaksikan Denis Suarez melorongkan bola kepada Mina ketika menuju lima minit terakhir perlawanan untuk membolehkan pelawat berkongsi mata.

Ditanya mengenai emosinya, Courtois menjawab: "Saya berasa marah kerana kami melepaskan gol kedua itu.

"Ia adalah perlawanan yang sukar kerana mereka terlebih dahulu membuka tirai gol perlawanan. Mereka bertahan dengan baik dengan 11 pemain, kemudian saya menyelamatkan satu percubaan berbahaya untuk keputusan kekal 0-1.

"Dalam babak kedua pula, kami menyumbat dua gol pantas tetapi pada akhirnya, kami kehilangan dua mata yang sangat bernilai di laman sendiri. 

"Kami bertahan dengan baik tetapi Denis membuat pusingan badan yang menarik untuk mencipta ruang buat Santi Mina yang menyempurnakan hantaran itu dengan baik.

"Kami kehilangan dua mata penting dan ia menyebabkan kami terpaksa menelan kepahitan."


Editor: Shaiful Shamsudin

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen