Covid-19: Alaves sahkan 15 pemain, staf positif ujian

Oleh Nafis Abdullah 19 Mac 2020 373
Covid-19: Alaves sahkan 15 pemain, staf positif ujian
Deportivo Alaves mengesahkan seramai 15 pemain dan staf dalam kelab didapati positif ujian coronavirus.

Seperti kebanyakan saingan di Eropah, LaLiga juga ditangguhkan sehingga sekurang-kurangnya bulan depan susulan wabak COVID-19 yang memberikan kesan kepada beberapa pasukan.

Real Madrid menjalani proses kuarantin selepas pemain bola keranjang dalam kelab itu menghidapi virus itu sambil Valencia mengesahkan 35 peratus daripada ujian yang dilakukan dalam kelab didapati positif.

Situasi itu dilihat berkaitan dengan pertemuan di antara Valencia dan Atalanta di Itali dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah awal bulan ini sambil Alaves merupakan lawan terakhir sebelum LaLga ditangguhkan.

"Seramai 15 orang didapati positif, tiga daripadanya datang daripada skuad utama Alaves, tujuh lagi merupakan staf kejurulatihan dan tiada yang terkesan dalam pasukan bola keranjang. Lima pekerja turut menerima jangkitan," kata wakil kelab LaLiga itu.

"Pihak kelab membuat keputusan untuk mengadakan ujian bagi menghormati polisi untuk mereka yang menjadi sebahagian daripada kelab ini dan keputusan menunjukkan ia jalan terbaik untuk mengenal pasti kes serta mencegah daripada terus merebak.

"Mereka yang dijangkiti ketika ini berada dalam keadaan baik."

COVID-19 telah menjangkiti 208,000 orang di seluruh dunia sejak kemunculannya di wilayah Hubei di China, hujung tahun lalu.

Berbekalkan 13,910 kes, Sepanyol merupakan negara paling teruk terkesan di Eropah selepas Itali.
 

Tentang Penulis

Nafis Abdullah

Komen