Covid-19: Dybala rasa lebih sihat

Oleh Muzaffar Musa 28 Mac 2020 194
Covid-19: Dybala rasa lebih sihat
Paulo Dybala berasa "lebih sihat" selepas menunjukkan simptom-simptom jangkitan Covid-19 sepanjang seminggu lalu.

Dybala dan teman wanitanya, Oriana Sabatini, disahkan dijangkiti virus itu, yang telah merencatkan segala aktiviti sukan di seluruh dunia, pada 21 Mac lalu.

Penyerang kebangsaan Argentina itu berkata kedua-dua mereka berasa lebih sihat sambil mendedahkan -- menerusi satu panggilan video yang dikirimkan dalam Twitter rasmi Juventus -- bahawa dia mengalami simptom yang buruk sebelum ini.

"Saya berasa baik, sebenarnya jauh lebih baik selepas menunjukkan simptom yang buruk selama beberapa hari lalu.

"Hari ini, saya berasa jauh lebih baik tanpa sebarang simptom dan saya boleh bergerak dengan lebih banyak.

"Jadi, saya akan mencuba untuk beratih semula.
 
"Selepas mencuba untuk melakukannya pada hari di mana simptom saya teruk, saya terlalu cepat berasa tidak selesa dan tidak dapat bernafas, jadi saya tidak dapat melakukan apa-apa.

"Selepas lebih kurang lima minit, saya berasa amat letih dan badan saya terasa amat berat, otot saya sakit, jadi saya perlu berhenti.

"Tetapi mujur saya dan teman wanita saya berasa lebih sihat sekarang," katanya.

Dybala merupakan pemain Juventus ketiga yang disahkan positif wabak berkenaan selepas Daniele Rugani dan Blaise Matuidi.

Wabak Covid-19 telah menjejaskan seluruh Itali sepanjang bulan ini dengan lebih daripada  86,498 kes disahkan termasuk 9,134 kematian.

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen