Covid-19: Lyon heret kes Ligue 1 ke Majlis Negara

Oleh Shaiful Shamsudin 23 Mei 2020 178
Covid-19: Lyon heret kes Ligue 1 ke Majlis Negara
Hasrat Lyon, Amiens dan Toulouse untuk mencabar keputusan mengakhiri musim Ligue 1 lebih awal ditolak mahkamah di Paris, justeru hanya Majlis Negara yang boleh menentukan isu itu.

Mahkamah Pentadbiran mengisytiharkan kes seperti itu hanya boleh diadili oleh Majlis Negara, sekali gus Lyon menyatakan niat mereka untuk mengheret kes berkenaan ke sana.

Lyon mengkritik Liga Bolasepak Profesional (LFP) kerana menyatakan kepuasan terhadap keputusan itu dan semalam mengeluarkan satu kenyataan bahawa "tribunal pentadbiran belum memutuskan kes berkenaan".

Ia membuktikan bahawa kelab tersebut, yang menduduki tempat ketujuh sebelum musim ini terjejas ekoran penularan wabak novel koronavirus (Covid-19), tidak akan berganjak dengan hasrat mereka itu.

LFP dalam satu kenyataan mereka berkata "berasa senang hati untuk mengetahui bahawa rayuan yang diajukan oleh Olympique Lyonnais, Amiens SC dan Toulouse FC ditolak oleh hakim Mahkamah Pentadbiran Paris".

Lyon dinafikan tiket Eropah berikutan langkah LFP mengakhiri kempen domestik itu dengan sisa 10 perlawanan berikutan ancaman pandemik tersebut. 

Mereka hanya berpeluang meraih tempat di pentas Eropah pada 2020-21 sekiranya memenangi Coupe de France yang masih belum dijadualkan termasuk Liga Juara-Juara (UCL). 

Amiens dan Toulouse, yang diturunkan pangkat ke Ligue 2 pula, telah meminta Ligue 1 dianjurkan dengan penglibatan 22 pasukan musim depan.

Keputusan untuk mengakhiri kempen musim ini dibuat setelah Perdana Menteri Perancis, Edouard Philippe, menyatakan tidak mungkin acara sukan besar dapat dianjurkan termasuk di gelanggang tertutup sehingga September depan.
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen