Covid-19: Pemain Celtic sepeti haiwan dalam kurungan, kata Lennon

Oleh Muzaffar Musa 29 Mac 2020 233
Covid-19: Pemain Celtic sepeti haiwan dalam kurungan, kata Lennon
Pengurus Celtic, Neil Lennon, berkata pemainnya seperti "haiwan dalam kurungan" ketika mereka masih menantikan lampu hijau untuk kembali berlatih susulan pandemik Covid-19.

Liga Perdana Scotland terpaksa ditunda sehingga makluman lanjut disebabkan wabak berkenaan.

Celtic kini berkelebihan 13 mata di depan pencabar utama, Rangers, dalam carta liga.

Lennon mengakui sesetengah pemainnya bergelut sepanjang perintah kawalan berkenaan dan berkata bahawa kelabnya sentiasa memantau kesihatan mental pemain mereka.

"Mereka seperti haiwan dalam kurungan," katanya kepada BBC Sport.

"Mereka adalah pemain muda dan cergas, yang melalui hidup seharian dengan amat lasak.

"Rutin hidup mereka adalah berlatih dan bermain.

"Kini semua itu tiada. Sebilangan mereka akan memasak untuk pertama kali dalam hidup mereka.

"Secara mentalnya, perubahan ini akan membuatkan mereka tertekan.

"Mereka sudah terbiasa dengan keamatan dan secara tiba-tiba, ia tiada.

"Kami menyedari kesan kesihatan mental mengenai perkara ini.

"Dengan itu, kami semua perlu menjaga kesihatan.

"Selagi saya boleh keluar untuk melakukan senaman bagi ketenangan saya sendiri, saya baik-baik saja.

"Kesunyian yang memekakkan telinga apabila anda pergi berjalan-jalan. Tempatnya menjadi kosong. 

"Kami hanya perlu melaluinya dengan sebaik mungkin. Kami semua dalam keadaan yang sama," katanya.
 

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen