Covid-19: Presiden UEFA akui musim 2019-20 mungkin terkubur

Oleh Muzaffar Musa 29 Mac 2020 1574
Covid-19: Presiden UEFA akui musim 2019-20 mungkin terkubur
Presiden Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA), Aleksander Ceferin, mengakui bahawa saingan musim 2019-20 di seluruh Eropah berkemungkinan terkubur seandainya semua aktiviti bola sepak tidak dapat diteruskan sehingga penghujung Jun depan.

Saingan di Eropah musim ini terpaksa ditunda berikutan pandemic Covid-19 dengan Kejohanan Euro 2020 turut terpaksa dianjakkan ke 2021.

Ketika kebanyakkan liga berharap dapat bersambung di antara penghujung April hingga Jun depan, masih belum ada jaminan untuk sebarang penetapan tarikh yang lebih spesifik dan Ceferin tidak menolak saingan musim ini mungkin tidak dapat ditamatkan.

Dalam kes itu, presiden berkenaan menjelaskan bahawa kempen musim ini boleh dikira sudah terbatal atau berkubur.

"Jika tidak dapat menyambung liga, kita mungkin akan kehilangan musim ini," katanya kepada akhbar Itali, La Repubblica.

"Terdapat pelan A, B dan C. Tiga pilihan itu adalah menyambung liga pada pertengahan Mei, awal Jun atau penghujung Jun.

"Terdapat juga kemungkinan ia akan bermula semula pada penghujung musim depan, dan memulakan yang seterusnya kemudian.

"Kami akan melihat penyelesaian terbaik dengan liga dan kelab," katanya.

Sesetengah perlawanan di benua itu, termasuk pertemuan Paris Saint-Germain (PSG) dengan Borussia Dortmund dalam Liga Juara-Juara Eropah, telah dimainkna di stadium tertutup awal bulan ini dan Ceferin berasakan kaedah seperti itu merupakan satu-satunya cara untuk menamatkan musim ini.

"Sukar untuk membayangkan jika kesemua perlawanan dilangsungkan secara tertutup tetapi kami masih belum tahu sama ada ia dapat diteruskan atau tidak, dengan atau tanpa penonton.

"Jika tiada sebarang alternatif, ia pasti lebih baik jika dapat menamatkan kejohanan ini," tambahnya.

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen