Dembele tidak boleh cakap banyak dengan pengadil -- Valverde

Oleh Staff Writer 7 Oktober 2019
Dembele tidak boleh cakap banyak dengan pengadil -- Valverde
Pengurus Barcelona, Ernesto Valverde, berang dengan kad merah yang diterima Ousmane Dembele pada minit akhir ketika membenam Sevilla sambil berpendapat pemain Perancis itu patut mengawal kata-kata yang membawa kepada insiden buang padang itu.

Dembele diarahkan keluar padang ketika permainan berbaki dua minit selepas membantah kad merah yang diberikan kepada rakan sepasukannya yang mengharungi penampilan pertama, Ronald Araujo, ketika menang 4-0 awal pagi tadi dan Valverde berkata isu disiplin itu tidak mencerminkan perlawanan.

Barca meraih kemenangan keempat berturut-turut dalam semua kejohanan musim ini, menjaringkan tiga gol dalam tempoh lapan minit babak pertama sebelum kapten, Lionel Messi, menambah jaringan keempat hasil sepakan percuma dalam separuh masa kedua.

Valverde memuji persembahan menyerang anak buahnya selepas juara bertahan itu kini dibezakan dua mata dengan kedudukan teratas susulan jaringan oleh Luis Suarez, Arturo Vidal, Dembele dan Messi.

"Kami melakukan lebih banyak serangan berbanding lawan. Itu kunci utama," katanya.

"Keputusan ini sangat bagus tetapi kami tidak boleh berasa kasihan dengan lawan.

"Kad merah? Itu keputusan pengadil. Semua orang mempunyai pendapat. Saya lihat ia satu perlawanan yang bersih.

"Ia tidak tampak seperti kesilapan Araujo tetapi saya sering melihatnya daripada pandangan Barca.

"Saya tidak tahu apa yang dikatakan Dembele kepada pengadil tetapi saya fikir ia tidak panjang kerana sukar untuk mendengarnya bercakap dalam bahasa Sepanyol."

Pengurus Sevilla, Julen Lopetegui, memuji permulaan baik pasukannya di mana Luuk de Jong melepaskan tiga peluang keemasan untuk meletakkan pelawat di depan.

Namun, dominasi Barcelona menyaksikan Sevilla melalui kekalahan ketiga dalam empat aksi terakhir LaLiga dan pengendali itu menganggap keputusan di Camp Nou agak kejam buat pasukannya.

"Tempoh 30 hingga 35 minit pertama adalah milik kami," katanya.

"Kami meraih peluang terbuka dan tidak menjaringkan gol. Dalam situasi itu, jika anda tidak gunakan kesempatan, undang-undang bola sepak akan memberikan kesan kepada anda."
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen